BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Soalan saya berkaitan dengan ungkapan yang mana satu yang sesuai untuk diucapkan pada seseorang yang akan mengerjakan haji/umrah, (Mabrur atau Makbul).


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, penjelasannya adalah seperti di bawah:- Ucapan bagi seseorang yang ingin menunaikan haji atau umrah, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا وَدَّعَ رَجُلًا أَخَذَ بِيَدِهِ فَلَا يَدَعُهَا حَتَّى يَكُونَ الرَّجُلُ هُوَ يَدَعُ يَدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَقُولُ اسْتَوْدِعْ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَآخِرَ عَمَلِكَ (Riwayat al-Tirmizi) Maksudnya: Rasulullah SAW apabila menghantarkan seseorang baginda akan bersalaman dengannya dan tidak melepaskannya hingga orang tersebut yang melepaskan tangan Nabi SAW, dan beliau mengatakan: “Serahkanlah kepada Allah agamamu, amanahmu dan pengakhiran amalanmu”. Ini merupakan amalan Rasulullah SAW yang direkodkan di dalam Sunan al-Tirmizi apabila ada dalam kalangan para sahabat ingin bermusafir. Secara umumnya, mendoakan seseorang adalah perbuatan yang mulia dan kita digalakkan berdoa sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pada waktu yang sama sebarang bentuk lafaz doa bagi mendoakan kebaikan terhadap seseorang boleh dilakukan. Selain dari doa di atas berdoalah dengan mana-mana doa yang sesuai seperti mendoakan agar amalannya diterima, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan dan lain-lain doa yang membawa maksud kebaikan kepada seseorang. Dari sudut makna doa sama ada maqbul atau mabur pula: Maqbul ( مقبول) membawa bermaksud : Diterima Mabrur (مبرور ) membawa maksud : Amalan yang tidak bercampur dengan perkara-perkara yang merosakkan ibadah Haji atau umrah tersebut. Kedua-duanya sesuai digunakan tetapi yang lebih menepati konteks haji dan umrah adalah Mabrur. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 7470

message user image