Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ust. Maaf bertanya, saya telah mengalami kemalangan beberapa bulan yang lalu yang menyebabkan saya perlu untuk solat fardhu dengan duduk diatas kerusi kerana lutut masih belum sembuh sepenuhnya. Oleh itu, saya pun solat seperti biasa bersama jemaah lain pada rukun takbiratul ihram, rukuk dan iktidal saya lakukan seperti biasa iaitu secara berdiri betul akan tetapi pada rukun sujud dan yang lainnya yang memerlukan untuk seseorang itu duduk dibawah, saya akan duduk diatas kerusi. Hari ini, saya telah ditegur oleh salah seorang jemaah yang mengatakan saya lebih afdhal melunjurkan kaki berbanding solat diatas kerusi kerana dia mengatakan dalam kitab2 besar banyak terdapat permasalahan solat fardhu mengenai melunjurkan kaki lebih utama berbanding solat diatas kerusi. Persoalan saya, apakah yang lebih afdhal bagi orang diantara duduk diatas kerusi dan melunjurkan kaki kehadapan semasa solat dan kalau boleh saya ingin mengetahui sebahagian yang membicarakan mengenai permasalah tersebut. Jutaan terima kasih saya ucapkan pada pihak tuan atas jawapan yang tuan berikan. Terima kasih, Ust.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, pada asalnya, berdiri bagi yang mampu adalah rukun dalam solat. Namun begitu, syarak membenarkan seseorang itu duduk sekiranya dia tidak mampu berdiri. Diantara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda: صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” (Riwayat al-Bukhari) Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun keuzuran, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut: i. Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, wajib baginya berdiri terlebih dahulu. Kemudian barulah duduk dan melakukan rukuk serta sujud. Ini kerana, rukun berdiri semasa qiyam wajib sekiranya dia mampu berdiri. ii. Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai, dan duduk secara iftirasy (duduk tahiyat awal), lebih utama berbanding duduk secara tawarruk dan tarabbu’ (bersila). Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi. Solat duduk di atas kerusi ini menyerupai solat tarabbu’ (bersila) dan solat di atas binatang tunggangan. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya: كان النبي ﷺ في السفر على راحلته حيث توجهت به يومئ إيماء صلاة الليل إلا الفرائض ويوتر على راحلته Maksudnya : “Rasulullah SAW pernah bersolat ketika musafir di atas tunggangannya. Ke mana arah pun tunggangannya itu menghadap, baginda melakukan isyarat untuk solat malam. Baginda tidak melakukan demikian dalam solat fardhu. Baginda juga bersolat witir atas tunggangannya”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.