Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.b.t, saya nak bertanya, majlis pertunangan hukumnya harus, dan sekiranya kita dijemput secara peribadi oleh tuan rumah ke majlis tersebut, adakah wajib kita memenuhi undangan itu? Adakah ada hadis yang boleh menerangkan kenapa ia menjadi wajib? Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam Islam, menghadiri majlis, jika dijemput adalah satu kewajipan. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ فَإِنْ كَانَ صَائِمًا فَلْيُصَلِّ وَإِنْ كَانَ مُفْطِرًا فَلْيَطْعَمْ Maksudnya : Jika salah seorang dari kalian diundang, hendaknya dia penuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa, maka hendaklah dia mendoakannya, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia memakannya. (Riwayat Muslim) Kewajiban memenuhi jemputan berdasarkan beberapa perintah Nabi SAW boleh berubah kerana beberapa keadaan seperti : 1- Jika makanan yang dihidangkan tidak halal atau syubhah. 2- Jemputan dikhususkan kepada orang-orang tertentu (kaya) sahaja. 3- Jemputan yang didorong dengan niat tertentu (tidak ikhlas). 4- Terdapat kemungkaran dalam majlis tersebut. 5- Kehadirannya ke majlis walimah boleh mendatangkan mudarat kepadanya. 6- Jemputan tidak ditujukan kepada diri seseorang secara peribadi, hanya secara umum. 7- Telah menyatakan keuzuran terlebih dahulu kepada yang menjemput. 8- Seorang isteri yang tidak mendapat keizinan suami. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.