Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya telah bertengkar dengan suami dan keluar belah suami akibat salah faham, sehingga menyebabkan penceraian, di mana ibu mertua saya berkata dia takkan merestui anaknya jika anaknya mengambil keputusan untuk meneruskan perkahwinan. Sebarang ikhtiar untuk memulihkan perkahwinan tidak diterima. Soalan saya, adakah dibolehkan seorang ibu menggunakan keistimewaan yang diberikan oleh Allah (restu) sebagai penyebab untuk memutuskan perhubungan yg telal dihalalkan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, perceraian walaupun dibenarkan (halal), ia dibenci oleh Allah SWT sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أبغض الحلال إلى الله الطلاق Maksudnya : “Perkara yang halal yang paling dibenci disisi Allah ialah talak” (Riwayat Ibnu Majah) Bagaimanapun, perceraian yang telah berlaku dengan talak raj’e (boleh dirujuk), maka merujuk adalah jalan yang sebaik-baiknya. Banyak pasangan yang telah bercerai, timbul penyesalan. Mereka menjadikan pengalaman bercerai sebagai pengajaran. Walauapapun sebabnya, ia bukan penghalang untuk hidup bahagia dalam sebuah rumahtangga. Ibu bapa perlu memberi sokongan kepada anaknya dalam usaha memperbaikinya, bukan bertindak sebaliknya. Oleh itu, ibu bapa tidak patut campur tangan dalam konflik rumah tangga anaknya, kecuali jika diminta. Maka, nasihatilah pasangan anaknya dengan menggunakan pengalamannya, disamping memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki kesilapannya. Hakikatnya, ia saling memerlukan sebagai sebuah keluarga yang lebih besar. Ikutilah panduan agama. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.