Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Soalan saya adalah mengenai kenyataan bahawa tugas seseorang isteri hanyalah melayan suami, dan lain-lain tugas termasuk menjaga anak, kerja-kerja rumah, memasak dan mencari nafkah adalah tanggungjawab suami. Kenyataan ini menyebabkan isteri selalu mengungkit yang dia telah menyumbang lebih berbanding pasangannya malah sering mengungkit yang dia hanya menolong suami melakukan kerja rumah. Walaupun kerja itu dilakukan bersama-sama. Soalannya, benarkah pendapat ini adalah yang diajarkan dalam islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara asasnya, dalam kehidupan berumah tangga memang diperjelaskan tentang tanggungjawab suami dan tanggungjawab isteri. Menyara (nafkah) isteri dan keluarga adalah tanggungjawab suami mengikut kadar kemampuannya. Sementara isteri wajib taat kepada suami, seorang isteri tidak boleh keluar rumah termasuk bekerja tanpa keizinan suami. Bagaimana pun dalam usaha membangunkan keluarga termasuk pendidikan anak-anak, isteri dengan izin suami boleh keluar bekerja bagi tujuan membantu suami memenuhi keperluan bersama. Itulah yang sepatutnya sebagai memenuhi tuntutan perkongsian hidup berkeluarga. Mempersoalkan tentang tanggungjawab menyara keluarga dan menuntut hak yang sepatutnya diterima bukanlah cara komunikasi yang baik dan berkesan dalam sesebuah rumah tangga. Komunikasi seperti ini, adalah komunikasi di Mahkamah yang dikawal dan ditentukan oleh hakim, tetapi dalam komunikasi harian dalam rumah tangga, tiada yang menghakiminya. Akhirnya akan didorong oleh emosi dan nafsu bagi mencapai kemenangan bukan kebenaran, yang boleh menuju kehancuran dan perceraian bukan keharmonian dan kesejahteraan. Penentuan tanggungjawab suami dan isteri bukan untuk diikuti secara mutlak, tetapi untuk dijadikan panduan apabila timbul pertikaian, kerana kehidupan berumah tangga adalah perkongsian senang dan susah, sentiasa belajar dan memperbaikinya. Elemen kasih sayang, hormat menghormati, berkerjasama, memberi dan menerima, saling berbincang dan bertolak ansur amat penting demi mencapai kehidupan berkeluarga yang harmoni. Mudah-mudahan tuan dan isteri beroleh keberkatan dalam hidup berkeluarga. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.