Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wrt Ustaz, saya ada kemusykilan berkenaan jamak dan qasar. 1. Saya sekarang menuntut di sebuah universiti di KL dan menetap di sana. Apabila saya pulang ke rumah saya di Ipoh untuk beberapa hari(kurang daripada 3 hari), bolehkah saya melakukan jamak dan qasar di rumah saya? 2. Bolehkah saya melakukan jamak dan qasar sekiranya saya akan pulang ke rumah sebelum waktu solat tersebut habis? 3. Apabila saya balik semula ke universiti daripada ipoh, bolehkan saya melakukan jamak qasar sekiranya saya masih dalam perjalanan dan masih sempat melakukan solat tersebut sekiranya saya sampai di universiti. 4. adakah solat jamak qasar lebih afdal dilakukan berbanding solat pada waktunya kerana terdapat banyak surau dan masjid di merata tempat untuk mengerjakan solat di dalam waktu. Saya mohon jasa baik ustaz untuk menjawab soalan saya ini memandangkan saya sangat musykil dengan hukum jamak dan qasar.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, solat jamak dan qasar adalah keringanan (rukshah) yang diberikan kepada orang Islam yang bermusafir sejauh 2 marhalah (90km) atau lebih dengan syarat perjalanan tersebut adalah perjalanan yang diharuskan mengikut Hukum Syarak. Jawapan 1: Tuan tidak boleh solat jamak dan qasar di rumah tuan di Ipoh walaupun pulang dan tinggal di sana kurang daripada 3 hari kerana Ipoh masih menjadi tempat bermastautin (tempat menetap) tuan, manakala tempat bermukim tuan adalah di Kuala Lumpur. Maksud bagi tempat bermastautin adalah menetap selama-lamanya dan tidak akan berpindah selagi tidak ada tempat mastautin yang baharu. Maksud tempat bermukim pula adalah tempat tuan tinggal melebihi 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari pulang dan tidak berniat untuk menetap di situ selama-lamanya. Jawapan 2: Solat jamak dan qasar boleh dilakukan walaupun sekiranya ketika pulang ke rumah waktu solat tersebut masih belum habis. Sebagai contoh tuan melakukan solat jamak taqdim zohor dan asar secara qasar ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh. Apabila tuan sampai di Ipoh, waktu asar masih berbaki, maka tidak perlu solat asar semula kerana ianya telah dilaksanakan ketika musafir dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Hukum Syarak. Jawapan 3: Tuan boleh melakukan solat jamak dan qasar sekiranya masih dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur walaupun solat tersebut sempat dilaksanakan di Kuala Lumpur. Jawapan 4: Sekiranya ada orang yang boleh solat secara jamak qasar bersama tuan secara berjama’ah, maka perkara ini adalah yang terbaik dilakukan kerana mendapat dua kelebihan iaitu kelebihan solat berjema’ah dan kelebihan solat jamak qasar ketika bermusafir kerana kedua - duanya merupakan sunnah Rasulullah SAW. Jika tiada orang yang boleh solat jamak qasar bersama tuan secara berjama’ah dan dalam masa yang sama ada orang yang solat berjema’ah secara tamam (sempurna empat rakaat), maka sebaiknya tuan sempurnakan solat bersama jema’ah yang ada secara tamam untuk mendapat kelebihan solat berjama’ah. Adapun jika tuan hanya boleh solat bersendirian, maka afdholnya tuan solat secara jamak dan qasar kerana perkara tersebut merupakan sunnah Nabi S.A.W ketika bermusafir seperti yang dinyatakan di dalam riwayat di dalam Sahih al Bukhari , Saidina Ibnu Umar R.A menyatakan bahawa; عن نافعٍ عن ابنِ عُمرَ رَضِيَ اللهُ عنهما قال صَلَّى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بمِنًى ركعتينِ، وأبو بكرٍ بَعدَه، وعُمرُ بعدَ أبي بكرٍ، وعثمانُ صدرًا من خِلافتِه، ثم إنَّ عثمانَ صَلَّى بعدُ أربعًا، قال: فكان ابنُ عُمرَ إذا صلَّى مع الإمامِ صلَّى أربعًا، وإذا صلَّاها وَحدَه صلَّى رَكعتينِ Maksudnya ; Rasulullah SAW solat di Mina (ketika bermusafir) 2 rakaat Saidina Abu Bakar R.A juga melakukan sedemikian, dan Saidina Umar RA selepas Abu Bakar RA juga melakukan sedemikian, dan Saidina Uthman RA melakukan sedemikian pada awal pemerintahannya kemudian beliau solat di pertengahan pemerintahannya sebanyak 4 rakaat. Maka berkata Nafi’ RA, bahawasanya jika Ibnu Umar RA solat bersama imam (yang bermukim) maka beliau sempurnakan 4 rakaat, dan jika beliau solat seorang diri maka beliau solat 2 rakaat. (Riwayat Muslim) Para Jumhur Ulama’ bersepakat bahawa solat secara jamak dan qasar adalah keringanan (rukhsoh) dari Allah SWT untuk orang yang bermusafir dan menjadi pilihan kepada orang yang bermusafir untuk beramal dengan rukhsoh tersebut atau meninggalkannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.