Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Mohon penjelasan berkaitan keluarga syed dan sharifah. Adakah mereka tidak boleh menerima zakat dan sedekah? Sekiranya ya, adakah ianya terpakai sekiranya melalui perkahwinan campur (syed & orang biasa)? Bagaimana hukum dalam konteks keadaan yang diamalkan sekarang berkaitan pemberian saguhati kecemerlangan/duit raya dan lain-lain kepada anak-anak yang berketurunan syed dan sharifah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, jika benar keluarga Syed dan Sharifah tersebut memang berketurunan Rasulullah SAW melalui Hasan atau Hussein Radiallahuanhuma, maka keluarga ini tidak boleh menerima zakat dan sedekah. Telah berkata Imam Taqiyuddin di dalam kitabnya Kifayatu al-Akhyar yang bermaksud: “Tidak harus membayar zakat kepada Bani Hashim dan Mutalib dengan sabdaan Nabi S.A.W: إن هذه الصدقة أوساخ الناس وإنها لا تحل لمحمد ولا لآل محمد Maksudnya: Sesungguhnya zakat adalah kotoran harta manusia, dan sesungguhnya ia tidak halal bagi Muhammad dan tidak pula bagi keluarga Muhammad. (Riwayat Muslim) Jika berlakunya perkahwinan campur antara Syed, Sharifah dan keluarga biasa, maka nasab anak akan mengikuti nasab bapanya. Perlu difahami bahawa keluarga Rasulullah SAW hanya tidak boleh menerima zakat dan sedekah, namun harus hukumnya untuk menerima hadiah dan hibah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.