Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum membuat veneer pada gigi? Supaya gigi kelihatan cantik putih berseri.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, veneer gigi adalah prosedur kecantikan dari doktor gigi untuk membantu meningkatkan warna, bentuk, dan posisi gigi serta memperbaiki permukaan gigi yang rosak. Veneer gigi dibuat dari lapisan bahan nipis yang dipasang untuk menutupi permukaan depan gigi. Veneer gigi dapat bertahan hingga bertahun-tahun sebelum akhirnya rosak atau tertanggal dan perlu diganti. Veneer biasanya digunakan untuk memperbaiki gigi yang berubah warna, patah, rosak, tidak rata, tidak teratur bentuknya, atau renggang. Apabila veneer digunakan sebagai proses perubatan atau penyembuhan, seperti untuk menguatkan gigi yang terkena karies atau mengembalikan bentuk gigi yang patah karena kemalangan, maka veneer adalah diharuskan di dalam Islam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdurrahman bin Tharafah bermaksud; “Bahawa datuknya Arfajah bin As’ad, hidungnya terpotong ketika perang Al Kilab. Lalu beliau membuat hidung palsu dari perak, tetapi hidungnya menjadi busuk. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lalu memerintahkan kepadanya (untuk membuat hidung dari emas), hingga ia pun membuat hidung dari emas.” (Riwayat Abu Daud) Kesimpulannya , vaneer harus dilakukan dengan syarat; 1. Hendaklah memastikan proses tersebut selamat dan tiada kesan sampingan yang memudhoratkan. 2. Proses tersebut hendaklah menggunakan bahan yang diharuskan dan bukan najis. 3. Hendaklah mendapat nasihat pakar atau doktor pergigian yang bertauliah terlebih dahulu. 4. Tidak melakukan vaneer dengan niat berbangga diri dan merendahkan orang lain. 5. Tidak melakukan vaneer dengan tujuan menipu orang lain. 6. Tidak melakukan vaneer hanya untuk tujuan kecantikan. Namun, jika dilakukan untuk tujuan kecantikan, maka tidak diharuskan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.