BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Saya telah terlanjur berzina dengan seorang lelaki berstatus suami orang anak 4, dan saya masih belum pecah dara dan telah datang haid. Kami telah bertaubat dan ingin mencari keampunanNya. Lelaki tersebut mahu bertanggungjawab dengan menikahi saya namun terdapat tentangan dari pihak keluarga saya disebabkan oleh status dan pendapatan lelaki tersebut dikira tidak mampu untuk berlaku adil terhadap saya. Adakah wajib untuk lelaki itu menikahi saya walaupun tidak mendapat persetujuan wali saya hingga dibolehkan untuk berkahwin di luar negara? Adakah sehingga perlu untuk kami membuka aib demi pernikahan kami?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, perbuatan zina merupakan di antara dosa besar yang dibenci oleh Allah SWT. Walau sebesar manapun dosa yang dilakukan oleh seorang manusia, peluang bertaubat tetap terbuka luas selagi belum tibanya ajal seseorang atau sebelum terbitnya matahari dari sebelah barat (kiamat). Sekiranya Allah SWT menggerakkan hati kita untuk bertaubat kepadaNya dari dosa lampau, itu merupakan satu anugerah yang amat berharga dan patut disyukuri. Setiap pelaku dosa wajib untuk bertaubat kepada Allah SWT. Syarat taubat adalah ; 1. Meninggalkan dosa tersebut serta-merta. 2. Menyesal di dalam hati. 3. Berazam tidak akan mengulangi dosa tersebut. Adapun jika dosa tersebut berkaitan kezaliman ke atas orang, maka ditambah syarat keempat iaitu wajib meminta maaf dan mohon dihalalkan atau memulangkan semula harta yang diambil tanpa izin. Dalam konteks soalan yang dikemukakan, dosa yang dilakukan adalah dosa berzina yang turut melibatkan maruah kedua-dua pelaku, maka empat syarat taubat di atas perlu dipenuhi. Lelaki tersebut tidak diwajibkan menikahi saudari kerana ia tidak termasuk di dalam syarat taubat. Kesungguhan beliau ingin bertanggungjawab merupakan sesuatu perkara yang baik, namun terhalang dengan kemampuan nafkah yang terbatas. Pernikahan di luar negara bukan pilihan yang bijak kerana ia akan menyebabkan timbul masalah lain. Keaiban dosa tersebut haram dibuka atau diceritakan kepada orang lain kerana Allah SWT melarang kita daripada mendedahkan aib diri sendiri atau orang lain kerana Islam konsisten dalam menjaga maruah sesiapa sahaja. Cara yang terbaik adalah dengan memenuhi syarat taubat di atas disamping mengadu kelemahan diri kepada Allah SWT, mengaku kesilapan dan bertaubat mengharap keampunanNya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali'Imran :135) Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan bahawa Rasululullah SAW bersabda; التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ Maksudnya ; “Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti tiada dosa (dihapuskan dosa tersebut)” (Riwayat Ibnu Majah) Semoga dosa yang dilakukan saudari dan lelaki tersebut diampun oleh Allah SWT dan diberi petunjuk ke jalan yang lurus agar menjalani kehidupan yang lebih baik dengan sentiasa terlibat dengan aktiviti yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhi segala kemungkaran. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 209

message user image