Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan peraduan yang sedang dijalankan oleh Syarikat Nestle sempena Tahun Baru Cina ini. Setiap RM 4 pembelian barangan dalam satu resit akan diberikan satu nombor siri dan peserta dikehendaki menjawap satu soalan mudah. Nombor siri akan disusun dan dijumlahkan untuk mendapat jumlah keseluruhan penyertaan. Jumlah penyertaan ini akan dibahagi kepada 3 untuk menentukan pemenang. Nombor siri sepertiga pertama akan mendapat hadiah pertama, nombor siri sepertiga kedua akan mendapat hadiah kedua dan seterusnya. Ini bermakna semakin banyak pembelian akan bertambah peluang untuk menang peraduan tersebut. Terma & syarat serta cara pengadilan diterangkan secara jelas didalam borang peraduan. Ini akan mendorong orang ramai untuk membeli sebanyak mungkin produk makanan syarikat tersebut dan menghantar resit sebanyak yang boleh untuk meningkatkan peluang nombor siri terpilih untuk menang. Apakah hukum menyertai pertandingan ini sekiranya kita membeli produk makanan tersebut dengan banyak (harga tetap sama, tidak ada kenaikan) untuk mendapatkan lebih nombor siri dengan harapan untuk menang. Produk makanan yang telah dibeli pula akan dijual semula, disedekahkan ataupun disimpan untuk stok makanan. Adakah cara ini dikira sebagai judi atau sebaliknya. Saya berharap kemusykilan saya ini dapat dijelaskan oleh tuan mufti.
Jawapan
Antara asas dalam mengenalpasti judi yang diharamkan adalah seperti berikut: a. Apabila adanya pertaruhan yang dikeluarkan oleh semua peserta. Pertaruhan inilah yang akan dijadikan ganjaran bagi sesiapa yang memenangi sesuatu pertandingan. b. Bagi setiap pertandingan tidak akan terlepas daripada dua kebarangkalian (risiko) iaitu sama ada mendapat keuntungan ataupun kerugian (imma an yaghnam aw yaghram). Seseorang itu akan mendapat keuntungan apabila ia memenangi sesuatu pertandingan kerana dia akan mengaut semua pertaruhan peserta-peserta lain. Manakala jika kalah, beliau akan menanggung kerugian kerana hilangnya wang pertaruhan yang dikeluarkan. Tiada perbezaan di antara pertandingan yang melibatkan pertaruhan yang banyak atau pun sedikit. Di dalam semua keadaan, apabila dua ciri di atas ada, maka ia akan dikira sebagai perjudian yang diharamkan dan perlu dijauhi oleh seorang Muslim. Antara solusi yang dicadangkan adalah: a. Hadiah ditaja oleh pihak lain yang tiada kaitan dengan pertandingan yang dijalankan. Bukan diambil daripada yuran peserta. b. Hadiah ditaja oleh sebahagian peserta, manakala sebahagian yang lain tidak mengeluarkan sebarang bayaran, atau satu pasukan tidak dikenakan yuran. Tuan juga boleh merujuk ke laman web berikut berkenaan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM : http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/109-garis-panduan-peraduan-berasaskan-hadiah Wallahu ta’ala a’lam. Sekian, terima kasih.