Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: As salam, soalannya - perlukah membayar tuntutan nafkah setelah bercerai sedangkan di permulaannya isteri menyatakan tidak perlu @ tidak kesah kerana kewangan suami tidak stabil dan tidak mempunyai kerja tetap.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, nafkah merupakan kewajipan suami untuk menyara kehidupan dalam keluarga, isteri dan anak-anak serta mereka yang menjadi tanggungannya. Kewajipan tersebut menjadi hutang jika tidak ditunaikan seperti yang telah ditentukan atau dipersetujui kerana berlakunya perceraian. Soal sama ada perlu bayar atau tidak seperti yang dipersoalkan, kerana telah membuat persetujuan tidak perlu dan tidak kisah, ia perlu disahkan dan dibincang semula untuk mendapatkan persetujuan dan direkodkan sebagai bukti yang telah dipersetujui bersama. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Sebaiknya urusan tuntutan nafkah ini bolehlah dikemukakan kepada pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk direkodkan sebagai suatu perintah agar tiada pihak yang mempertikaikan di kemudian hari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.