BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum wbt ustaz. Maaf mengganggu. Sekadar pertanyaan bagi menyelesaikan persoalan di fikiran saya. Berkenaan hal pertunangan dalam islam. Menurut bacaan saya, jika seorang lelaki menyatakan hasrat untuk mengahwini seorang perempuan dan seorang perempuan bersetuju, perempuan tersebut dianggap tunang kepada lelaki tersebut dan pertunangan tersebut adalah sah mengikut syarak. Haram kepada lelaki lain untuk meminang di atas tunangan orang lain kan ustaz? Dan ada juga saya baca tetapi terdapat perbezaan pendapat disini di mana pendapat pertama menyatakan haram juga lelaki lain menikahi perempuan yang menjadi tunang orang lain dan perkhawinan tersebut perlu di fasakh kan. Betulkan saya jika saya salah. Dan pendapat lain menyatakan perkhawinan tersebut boleh diteruskan kerana perkhawinan adalah lebih baik dari pertunangan kerana hukum tunang hanyalah harus. Yang saya ceritakan disini hanya pertunangan islam. Bukan pertunangan adat yang kita amalkan. Soalan saya ustaz, apakah perkara yang membolehkan satu pertunangan tersebut dikira batal? Adakah cukup sekadar perempuan tersebut menyatakan "saya sudah tidak boleh terima awak" boleh membatalkan pertunangan itu? Terima kasih jika ustaz berkesempatan menjawab persoalan saya ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dari saya sendiri dengan izin Allah.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, pertunangan (Khitbah) adalah apabila seorang lelaki menyatakan hasrat untuk mengahwini atau menikahi seorang wanita, kemudian hasrat itu diterima oleh wanita yang dimaksudkan dan dipersetujui oleh walinya, maka mereka berdua dikira sudah bertunang disisi Hukum Syarak dan haram bagi lelaki lain untuk melamar wanita tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda ; لا يَخْطُبْ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ ، أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ Maksudnya ; “Tidak boleh seorang lelaki melamar wanita yang telah dilamar oleh lelaki lain sehingga pelamar yang pertama itu meninggalkan (membatalkan) lamarannya atau mengizinkan lelaki lain untuk melamar wanita tersebut”. (Riwayat al-Bukhari) Pertunangan dikira batal apabila salah satu pihak menarik diri atau menyatakan hasrat tidak mahu berkahwin dengan tunangnya atas apa jua alasan sekalipun kerana masing-masing memiliki hak untuk membatalkan pertunangan seandainya terdapat maslahah tertentu pada bila-bila masa dengan bahasa yang boleh difahami oleh kedua-dua belah pihak. Diharamkan melamar sekiranya wanita yang masih menjadi isteri orang lain, wanita yang haram dikahwini samada haram selamanya atau sementara, wanita yang beriddah kerana talak raj’ie (talak yang boleh dirujuk) kerana dia masih isteri orang dan suaminya masih boleh rujuk semula. Sekiranya wanita tersebut telah bertunang dengan seorang lelaki, kemudian wanita tersebut dinikahi oleh lelaki lain, perkahwinan tersebut adalah sah, akan tetapi lelaki yang bernikah itu dikira berdosa kerana melanggar tuntutan Nabi SAW iaitu menikah dengan wanita yang dilamar orang lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 565

message user image