Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya berkahwin dengan suami saya yang merupakan duda kematian isteri. Beliau mempunyai 3 orang anak, 2 lelaki dan satu perempuan. Saya memahami bahawa hubungan saya sebagai ibu tiri kepada anak-anak lelaki bahawa mereka adalah mahram selama-lamanya. Apakah pula hubungan ibu/bapa saya dengan mereka? Mahram atau tidak? Mohon pencerahan pihak tuan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hubungan ibu bapa puan dengan anak-anak tiri puan adalah ajnabi yakni tidak mahram kerana ibu bapa puan tidak termasuk dalam wanita atau lelaki yang diharamkan untuk berkahwin dengan anak-anak tiri puan. Jadi, perlu menjaga batas-batas pergaulan seperti tidak bersalaman antara satu sama lain, kecuali jika berlapik jika selamat daripada fitnah. Bagaimanapun, setelah puan dan suami puan melakukan persetubuhan, kedudukannya sama seperti anak sendiri. Begitu juga dengan ibu bapa puan, talah menjadi mahram. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nisa' : 23) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.