BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Pembahagian Harta Pusaka. Seorang perempuan telah meninggal dunia dan arwah tidak mempunyai anak atau suami. Terdapat adik beradik perempuan seibu sebapa yang masih hidup manakala adik beradik lelaki seibu sebapa beliau telah meninggal dunia terlebih dahulu. Adik beradik lelaki seibu sebapa berkenaan mempunyai anak lelaki. Mohon penjelasan mengenai pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan oleh perempuan berkenaan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, jika al-marhumah masih mempunyai ibu bapa, maka bahagian ibunya ialah 1/3. Tetapi jika al-marhumah mempunyai adik-beradik, maka bahagian ibunya ialah 1/6. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. (an-Nisa’ : 11) Adapun, jika al-marhumah tidak mempunyai bapa dan tidak mempunyai anak, tetapi mempunyai adik-beradik lelaki dan perempuan seibu, maka bahagian mereka 1/6 setiap seorang. Tetapi, jika adik-beradik seibu itu lebih dari seorang, maka bahagian mereka 1/3. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud : Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. (an-Nisa’ : 12) Oleh kerana waris yang tinggal hanyalah adik-beradik perempuan seibu dan sebapa, maka bahagiannya 1/2 daripada harta al-marhumah (jika seorang). Tetapi jika adik-beradik perempuannya ramai, maka setiap seorang mendapat 2/3 daripada harta al-marhumah. Manakala anak lelaki kepada adik-beradik lelaki (anak saudara al-marhumah) yang telah meninggal dunia tidak mendapat harta pusaka. Firman Allah SWT yang bermaksud : Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (an-Nisaa' : 176) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 91

message user image