Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz/ustazah. Saya ada 1 kemusykilan. Arwah datuk saya mempunyai 10 orang anak. seorang daripadanya sudah meninggal iaitu ibu saya. Datuk ada meninggalkan sejumlah harta. baru-baru ini, adik beradik ibu membuat keputusan untuk membahagikan harta pusaka hak milik datuk. soalan saya, masihkah ibu saya ada bahagian dalam harta pusaka tersebut? sebab ibu saya meninggal sebelum datuk saya. ada dikalangan adik beradik ibu menyatakan arwah ibu tiada hak untuk menuntut dan tidak perlu berbincang semeja dengan mereka sebab tiada apa-apa kaitan. di harap ustaz/ustazah sudi menjawab kemusykilan saya ini.terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, benar anak perempuan yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada ayahnya, tidak boleh mewarisi harta pusaka ayahnya. Ini kerana syarat bagi mendapatkan warisan ialah, pewaris masih hidup ketika ayahnya meninggal dunia. Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA katanya; أَنَّ رَجُلًا قَال: يَا رَسُوْلِ اللهِ! إِنَّ لِي مَالاً وَوَلدًا وإِنَّ أَبِيْ يُرِيْدُ أَنْ يَجتاح مَالِيْ. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَ سَلَّمَ : أَنْتَ وَ مَالُكَ لِأَبِيْكَ Maksudnya : "Suatu hari ada seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, akan tetapi bapaku ingin mengambil harta itu dariku? Rasulullah menjawab: "Kamu dan hartamu milik bapamu" (Riwayat Ibnu Majah) Harta warisan ayahnya juga tidak boleh diwakilkan kepada anak arwah (cucu). Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardhu atau ta’sib maka, mereka tidak layak untuk mendapat wasiat wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding wasiat wajibah. Walaubagaimanapun, cucu lelaki dan cucu perempuan (anak-anak arwah) adalah waris yang berhak dan mereka layak menerima wasiat wajibah. Ini berdasarkan kepada keputusan Fatwa Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah seperti link berikut; http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/195-hukum-pelaksanaan-wasiat-wajibah والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.