Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz, suami saya telah meninggal dunia. Arwah ada meninggalkan sedikit wang untuk anak-anak arwah, tetapi arwah masih ada hutang kereta dengan pihak bank. saya telah berjumpa dengan pihak bank dan atas persetujuan bersama, saya akan melangsaikan hutang arwah. boleh atau tidak saya terus berbuat begitu tanpa mengambil duit anak-anak saya? bagaimanakah keadaan roh suami saya sebab ianya amat membimbangkan saya sekiranya roh arwah tidak aman.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, apabila berlaku kematian segala harta si mati adalah menjadi harta pusaka. Begitu juga dengan wang yang diperuntukan untuk anak-anak arwah, ia juga telah menjadi harta pusaka. Dalam menguruskan harta peninggalan si mati, perlulah didahulukan bagi perbelanjaan urusan kematian dan pengebumiannya, kemudian urusan membayar segala hutang-hutang si mati, seterusnya melaksanakan wasiat si mati jika ada dan setelah itu barulah diuruskan pembahagian harta pusaka dalam kalangan waris-warisnya. Tidak menjadi kesalahan sekiranya puan telah berbincang dengan pihak bank dan telah membuat persetujuan bersama mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan segala hutang kereta sehingga selesai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.