BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Berikut saya sertakan situasi dan persoalan. *Situasi: Saya menjalankan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya mempunyai pelanggan yang telah menempah produk tersebut. Dalam masa yang sama saya juga mengambil produk tersebut secara pukal pada sebuah syarikat yang memproses produk-produk kesihatan. Kesemua pelanggan-pelanggan saya telah membayar harga produk-produk kesihatan tersebut kepada saya. Dan dalam masa yang sama, saya telah membuat pembayaran pada syarikat yang memproses produk tersebut. Setelah membayar pada syarikat tersebut, saya dapati yang saya telah ditipu syarikat tersebut. Dan produk yang dipesan secara pukal tidak saya perolehi. Pembayaran pada syarikat tersebut juga telah dibuat tetapi tidak dikembalikan. Justeru itu, saya telah mengembalikan semula pembayaran tetapi hanya jumlah keuntungan yang saya ambil atas produk tersebut. Contoh : Harga produk kepada pelanggan RM 50. dan harga pembayaran kepada syarikat RM40. Saya hanya mengembalik kan RM 10 iaitu jumlah pembayaran yang masih ada pada saya atas sebab faktor kemampuan saya. Persoalan: 1) Adakah pembayaran dari pelanggan dikira sebagai hutang yang saya perlu lunaskan sedangkan saya juga telah ditipu oleh pihak ketiga. 2) Saya telah pun membuat pembayaran baki yang masih ada pada saya iaitu RM 10 kepada pelanggan. Beerti saya tidak menggunakan duit pelanggan atas kepentingan diri sendiri. Adakah ianya dikira selesai antara saya dan pelanggan? Harap ustaz/ustazah dapat memberikan jawapan sekali gus membantu saya dalam hal ini. Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, Allah mengharuskan jual beli yang dijalankan sesama manusia sebagaimana firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”. (an-Nisa’ : 29)) Berdasarkan dalil tersebut, antara syarat utama di dalam berjual beli adalah konsep suka sama suka atau saling redha meredhai antara penjual dan pembeli. Kegagalan mencapai persetujuan kedua belah pihak maka urusniaga tersebut boleh terbatal. Berdasarkan situasi tuan, penjelasan secara berhemah dan berfakta perlu dilakukan kerana perjanjian asal yang dipersetujui (dalam konteks suka sama suka atau saling meredhai) adalah pertukaran barang yang dipesan dengan duit yang diberi. Berdasarkan konsep di atas, tuan masih berhutang dengan pembeli tersebut kerana barang yang dipersetujui tidak diterima. Namun apa yang penting adalah persefahaman kedua-dua belah pihak, berbincanglah secara harmoni agar dapat mencapai persetujuan baharu bagi menggantikan persetujuan lama yang gagal dilunaskan. Tuan juga boleh membuat aduan berkenaan penipuan syarikat berkenaan di agensi yang berkaitan di link berikut agar tindakan sewajarnya boleh diambil: http://www.ssm.com.my/ms/laman-utama-eAduan http://www.ssm.com.my/ms/saluran-eaduan والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 182

message user image