BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum, saya pernah melafazkan kepada isteri saya di awal perkahwinan kami, lafaz saya berbunyi seperti berikut 'Jika kau curang dgn aku ketika kau sah ( https://youtu.be/Hg5-I7Y7a-8 ) isteri aku, pada ketika itu lah kau bukan isteriku lagi' Soalan saya, jika isteri benar pernah curang di belakang saya tanpa pengetahuan saya tetapi dia tidak pernah mengaku pada suami akan perbuatannya itu, malah sentiasa meneruskan kehidupan seperti biasa iaitu kami masih seperti suami isteri yang sah, apa sebenarnya yang harus isteri dan saya lakukan?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, sesungguhnya syariat Islam ini hanya menghukum dengan zahirnya sahaja. Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu daud, Tirmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, serta Imam Malik dan Imam Ahmad dalam musnadnya, daripada Ummu Salamah bahawa Nabi SAW telah bersabda: إنما أنا بشر وإنكم تختصمون إلي فلعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض فأقضى له على نحو ما أسمع فمن قضيت له بحق فإنما هي قطعة من النار فليأخذها أو ليتركها Maksudnya: “Terkadang kalian bersengketa di hadapanku, boleh jadi sebahagian daripada kalian lebih pandai mengajukan alasannya berbanding yang lain, lalu aku memutuskan buat keuntungannya sesuai dengan apa yang yang ku dengari daripadanya. Oleh sebab itu, barang siapa aku beri sebahagian daripada hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya. Sesungguhnya yang kuberikan kepadanya itu tidak lain hanyalah sepotong api neraka.” Daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk berhukum dengan zahir tidak dengan perkara yang tersembunyi atau batin, walaupun Rasulullah SAW tahu akan hakikat sebenarnya. Terdapat juga kaedah fiqh yang berbunyi: الأصل بقاء ما كان على ما كان حتى يقوم الدليل على خلافه Maksudnya: Asal sesuatu perkara itu kekal mengikut keadaan sebelumnya sehingga adanya dalil atau bukti yang menyalahinya. Kesimpulannya, secara zahirnya, isteri tuan tidak berlaku curang dengan tuan maka talak tidak jatuh, dan perkahwinan tuan tidak terbatal sehinggalah terbukti akan kecurangan isteri tuan sama ada melalui pengakuannya sendiri atau ada saksi atau bukti-bukti lain. Jika benar isteri tuan curang dengan tuan, dan tidak memberitahu hal yang sebenar sedangkan dia tahu akan cerai taklik seperti mana yang diucapkan, maka dosanya akan ditanggung oleh isteri tuan sendiri. Adapun, jika tuan tetap menaruh syak atau tuduhan terhadap isteri, ia termasuk dalam perkara li’an, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (an-Nur: 6-9) Jika terdapat bukti serta saksi-saksi yang boleh dipercayai bahawa isteri tuan sudah berlaku curang, boleh rujuk kepada pihak Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 201

message user image