Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah yang perlu dilakukan seorang anak perempuan yang mengambil duit dari ayahnya tanpa pengetahuan ayahnya kerana sentiasa dimarahi & diherdik apabila meminta wang dari ayahnya? Ayahnya sudah mula syak akan perbuatan anaknya tetapi anak itu merasa bersalah tetapi sangat takut untuk mengaku kerana khuatir akan menjejaskan hubungan mereka & mencemari kepercayaan & maruah anak itu sendiri namun anak itu menyimpan niat untuk menggantikan kembali semua apabila anak itu punya kemampuan suatu hari nanti. Anak perempuan itu mengambil duit kerana dia masih bawah tanggungjawab ayahnya & keengganan ayahnya memberi bila perlu & sentiasa diherdik & dihina & ada ketikanya ayahnya seperti mahu lepas tangan tanggungjawab ayahnya sebagai seorang bapa. Mohon ustaz ulas.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, anak tersebut telah melakukan kesalahan dengan mengambil duit ayahnya tanpa kebenaran walaupun hanya sekadarnya. Berkata Sheikh Khatib di dalam kitabnya al-Mughni al-Muhtaj yang bermaksud: “Dan tidak dibolehkan seorang anak mengambil harta ayahnya yang gila walaupun dalam keadaan wajib ayah tersebut menafkahkan anaknya kecuali dengan kebenaran hakim.” Jika anak tersebut terlalu takut untuk mengaku kerana khuatir akan akibatnya yang akan datang, mungkin anak tersebut boleh mewakilkan atau meminta bantuan ibunya, atau saudara mara terdekat yang dipercayai dan dihomati untuk menyatakan perkara sebenar, di samping berbincang untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik. Mungkin juga anak tersebut boleh memberi jaminan bahawa dia akan mengembalikan wang ayahnya apabila dia bekerja nanti. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.