Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sampai bilakah tanggung jawab kami sebagai anak menjaga ibu tiri kami. yang mana 2 bulan lepas ayah kami telah kembali ke rahmatullah. selama ayah kami sakit beberapa bulan sebelum meninggal, kami anak-anak yang menjaga dan menguruskan segala-galanya. Sekarang ayah kami telah meninggal dunia dan ibu tiri kami tidak mempunyai anak. kami adik beradik semuatelah berkeluarga dan ada yang telah bercucu. selama ini kami adik beradik mengurus dan menjaga ibu tiri kami dan kami ada upah pembantu rumah menjaga makan minum nya lebih-lebih lagi dia dlm rawatan buah pinggang. ibu tiri kami ini ada adik beradik lelaki lagi. Persoalannya sampai bila kah tanggungjawab kami terhadap ibu tiri kami itu? semua hak-hak dia ikut hukum faraid kami patuhi.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, kedudukan ibu tiri itu sama seperti ibu kandung, kerana ibu tiri juga merupakan ibu yang sah (mahram) kepada anak suaminya (walaupun anak tiri) dan selama-lamanya tidak boleh bernikah dengan ibu tiri walaupun telah bercerai atau kematian suaminya. Firman Allah SWT : وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُمْ Maksudnya : “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu” (an-Nisa’: 22) Tanggungjawab mengurus dan memberi nafkahnya semasa tempoh iddah (kematian suami) jatuh kepada ahli waris suaminya. Ibu tiri juga berhak mendapat harta pusaka suaminya. Oleh kerana ibu tiri tidak mempunyai anak kandung, maka kewajipan itu jatuh kepada anak tirinya mengikut kadar kemampuannya. Selama mana ia memerlukan, yakni tidak terhad dalam tempoh iddah sahaja. Jika anak tiri juga tidak berkemampuan, maka walinya (wali kepada ibu tiri) wajib memberikan nafkahnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.