Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Keutamaan antara faraid daripada membantu keluarga yang sedang dalam kesusahan dan hanya bergantung kepada rumah pusaka yang ditinggalkan sebagai tempat berteduh
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sebagaimana panggilan telefon yang telah dilakukan antara pegawai dan pengirim pada 9.7.2019 maka isunya adalah tuntutan anak lelaki ke atas harta ibunya yang telah meninggal dunia pada 10 tahun dahulu melalui sistem faraid. Pada ketika mula-mula ibunya meninggal dunia ada kesepakatan dan persetujuan supaya rumah pusaka itu didiami oleh adik perempuannya berdasarkan pesanan ibunya secara verbal supaya bahagian rumah pusaka itu adalah untuk anak perempuannya. Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan. Menurut Istilah di dalam Syarak, faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah di tetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak seperti (anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada waris-waris adalah baki harta yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada bentuk agama (zakat, nazar dan seumpamanya) atau segala hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang di benarkan syarak. Antara bentuk harta yang boleh dibahagikan secara faraid adalah tanah, bangunan (rumah, kilang, gudang). Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya wajib untuk ditunaikan dan fardhu kifayah kepada umat Islam khususnya waris-waris untuk menyelesaikannya. Antara dalil pensyariatan faraid adalah: Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan” (an-Nisa’: 11) Hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya." (Riwayat Abu Daud) Kesimpulannya, tuntutan anak lelaki (abang kepada pengirim) ada haknya kerana telah termaktub dalam al-Quran dan sunnah berkaitan kewajipan faraid. Namun dalam konteks menjaga hubungan kekeluargaan perlu diselesaikan dengan secara harmoni kerana persetujuan sepuluh tahun lalu itu telah berlaku. Oleh itu, dinasihatkan puan merujuk dengan pihak Majlis Agama Islam Selangor bagi mendapatkan khidmat bantuan dan nasihat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.