BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: saya ingin tanya, saya tercampur baju berbekas haid (tompok kecik) ke dalan baju biasa dalam mesin basuh. selang beberapa hari, saya baru teringat. saya benar-benar lupa dan tidak sengaja. adakah solat sah jika dipakai? baju pula banyak.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, baju tersebut yang bercampur dengan pakaian lain yang dibasuh dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah dihukumkan suci akan kesemua pakaian tersebut. Hukum membasuh pakaian yang terkena najis menggunakan mesin basuh fully automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar. Menurut Al-Imam Al-Nawawi dalam kitab Majmu’ Syarh Muhazzab seperti berikut : “Penulis kitab Al-Tatimmah dan fuqaha yang lainnya mengatakan bahawa air mempunyai kekuatan sifat menyuci ketika dicurahkan ke atas benda yang terkena najis, maka tidak menjadi najis dengan akibat percampuran tersebut, bahkan air itu kekal suci. Jika sekiranya air itu dicurahkan ke atas pakaian yang ada najis dan air itu membasahi keseluruhan pakaian, maka pakaian itu suci. Sekiranya air dicurahkan ke dalam bekas yang bernajis dan sifat air itu tidak berubah akibat najis tersebut, maka ia adalah suci. Jika air itu berpusing-pusing ke setiap sudut bekas itu, maka sucilah keseluruhan bekas tersebut”. Berdasarkan fatwa al-Sheikh ‘Atiah Saqar (2006M) yang bermaksud: “Sekiranya pakaian yang terkena najis dimasukkan terlebih dahulu ke dalam bekas (baldi) dan dicurahkan air ke dalamnya, maka air basuhan itu tidak menjadi najis dan pakaian itu hukumnya suci.” Ini bermaksud, sekiranya pakaian yang bernajis dimasukkan ke dalam bekas (baldi) yang sedia ada berisi air kurang daripada dua kolah, maka pakaian itu tidak suci. Berdasarkan kepada Fatwa Darul Ifta Mesir bertarikh 21/03/2012 pula dinyatakan bahawa : “Sekiranya pakaian dimasukkan ke dalam bekas (baldi) kemudian dicurahkan air ke atasnya; ianya memadai (suci) apabila najis itu telah hilang atau najis tersebut hanyalah najis hukmi (najis tanpa bau atau warna atau rasa)”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 190

message user image