Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya kepada pihak tuan, sahkah mandi wajib jika darah istihadhah masih keluar semasa sedang mandi sedangkan telah dibersihkan sebelumnya. Saya juga ingin tahu bagaimanakah cara yang betul untuk mandi wajid bagi wanita yang menghadapi masalah istihadhah ini. Mohon pencerahan dari pihak tuan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sah mandi wajib tersebut walaupun darah istihadah masih lagi keluar. Wanita yang berada dalam istihadah adalah suci. Dalil yang diriwayatkan daripada Aisyah Radiyallahu Anha menerangkan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy Radiyallahu Anha pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: إنى امرأة استحاض فلا أطهر افأدع الصلاة؟ فقال : لا، إنما ذلك عرق وليس بالحيضة فإذا أقبلت الحيضة فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم وصلي Maksudnya : “Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat”. (Riwayat Muslim) Bagi wanita yang mengalami istihadah, tidak perlu untuk mandi wajib setiap kali darah istihadah keluar, kerana darah istihadah bukanlah darah haid. Ia adalah darah penyakit. Hendaklah dicuci sebelum berwuduk bagi menunaikan setiap kali solat fardhu. Wanita yang beristihadah boleh solat dan puasa seperti biasa, satu wuduk untuk satu solat fardhu, adapun solat sunat boleh berbilang-bilang. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.