Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada membuat cerai taklik seperti berikut pada isteri: JIKA KITA TIDAK PINDAH KE NEGERI XXX TAHUN INI, SAYA AKAN CERAIKAN KAMU Nampak gaya saya tidak dapat menunaikannya tahun ini. Kalau tahun akan datang, baru boleh. Jadi, jika saya tidak menunaikanya, adakah boleh saya bercerai kemudian nikah semula? Adakah ada cara lain?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, lafaz tersebut; “Jika kita tidak pindah ke negeri xxx tahun ini, saya akan ceraikan kamu”. Perkataan suami adalah perkataan berbentuk ugutan dan perancangan untuk menceraikan isteri. Justeru, tidak akan berlaku perceraian selagi mana suami tidak melafazkan cerai ke atas isterinya, kerana talak adalah hak suami. Adalah dinasihatkan agar suami tidak mudah untuk menggunapakai istilah cerai dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : ثلاث جدهن جد وهزلهن جد النكاح والطلاق والرجعة Maksudnya : “Tiga perkara yang jika dilakukan secara bersungguh-sungguh akan jadi benar dan jika dilakukan secara gurauan (main-main) juga jadi benar iaitu nikah, talaq dan rujuk” (Riwayat al-Tirmizi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.