Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Adakah sah talak yang dilafazkan suami kepada saya. Dia lafazkan begini "kalau sebelum pukul 2 pagi aku tidak balik, aku ceraikan kau" dan ternyata apabila saya bangun keesokkan harinya, suami saya tidak ada di dalam rumah. Di mana, dia tidak balik seperti mana yang dia katakan. Alasannya, dia mengatakan bahawa dia ada pulang ke rumah sebelum pukul 2 pagi namun tidak boleh masuk ke rumah kerana kunci tiada dan tidak ada orang mendengarnya memberi salam. sedangkan ketika itu, ibu dan ayah saya masih belum tidur (mereka tidur sekitar pukul 2 lebih) dan pastinya mendengar sekiranya dia ada memberi salam untuk masuk ke rumah. Pada masa itu juga, kunci rumah ada disimpan di tempat biasa (rahsia) di mana dia boleh mengambil kunci tersebut untuk memasuki ke rumah. Dia sepertinya tidak bersungguh untuk memastikan dirinya berada di rumah sebelum pukul 2 pagi. Bagaimanakah status saya? Tolong balas secepat mungkin. Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya didapati benar suami puan tidak pulang ke rumah sebelum pukul 2.00 pagi, dibimbangi cerai telah berlaku. Dalam perkara ini keterangan dan penjelasan daripada pihak suami sangat penting dalam membuktikan adakah beliau benar-benar pulang ke rumah sebelum jam 2.00 pagi atau tidak. Penentuan pengesahan status perceraian adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, oleh itu pihak puan dicadangkan supaya bersegera hadir ke Mahkamah Syariah berhampiran bagi membuat pengesahan status tersebut. NOTA *Pihak yang bertanya telah dihubungi melalui telefon pada 9 Julai 2019 memaklumkan jawapan seperti di atas.