Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin mengetahui hukum seorang isteri menyembunyikan aib suami. Kami telah berkahwin selama 15 tahun. Saya akui suami berlatar belakangkan sosial yang tidak elok semasa kami berkahwin. Namun sedikit demi sedikit suami mula berubah kearah yang lebih baik selepas kami mempunyai anak. 15 tahun berlalu, pada tahun ke 15, suami mula berubah. Mula ke arah tingkah lakunya yang lama. Tidak solat, curang, abaikan hal-hal agama tetapi satu halnya dari segi anak-anak suami masih menjalankan tanggungjawab. Soal curang telah kami selesaikan, saya memaafkan seikhlas hati. Tetapi sejak itu suami terus berhenti solat. Alasannya sebelum ini dia solat tetapi dia tetap gagal dalam pertahankan imannya.Saya sering memujuk, memberi nasihat namun semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Saya mencuba dengan cara perbuatan, yakni tidak lagi menasihat tetapi bentangkan sejadah, tunggu waktu solat agar dapat berjemaah tapi semuanya ditolak. Malah dia tidak mempunyai sebarang perasaan melihat saya dan anak-anak solat dihadapannya sedangkan dia leka dengan telefon bimbit. Adakala dia marah apabila saya sering nasihat tentang solat. Ibunya tahu tentang ini tapi hanya mampu menegur secara lisan sesekali apabila pulang ke rumah mertua. Sampai satu tahap demi menjaga aibnya ketika pulang ke rumah ibu saya, saya terpaksa pura-pura membentangkan sejadah dan menyediakan kain pelikat seolah2 baru dipakai agar ibu melihat suami seperti sudah selesai solat. Keluarga saya amat mementingkan hal solat. Ibu amat berkeras jika anak menantu dan cucu tidak solat.Waktu subuh, jika dirumah ibu, saya terpaksa pura-pura bangun ke bilik air ambil air sembahyang sebanyak 2 kali (bilik air di dalam bilik kami dan berkongsi dengan bilik ibu)untuk memberi tanda kepada ibu kononnya saya dan suami solat subuh berjemaah sedangkan hakikatnya suami lena di atas katil. Anak-anak tahu tentang hal ini, saya ada meminta bantuan anak yang sulung untuk memberi teguran pada suami, mungkin hati bapa boleh terusik apabila anak yang tegur. Tetapi anak sulung juga tidak berani kerana suami agak baran dan sensitif apabila ditegur perilakunya. Saya rasa sangat berdosa kerana bersubahat menyembunyikan kelakuan suami yang langsung tidak solat. Dalam masa yang sama saya jadi tertekan kerana terlalu memikirkan perkara ini kerana akibat tidak solat ini pasti tempiasnya terkena juga pada kami dan lambat laun pasti akan diketahui oleh ahli keluarga saya. Berdosakah saya yang ibarat bersubahat dengan suami, yang seolah2 membenarkan tindakannya yang tidak solat?. Apakah hukumnya dan apa yang perlu saya lakukan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, solat merupakan ibadah yang sangat penting dan merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amalan yang mula-mula sekali dihisab daripada seorang hamba di akhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan yang lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amalan-amalan yang lain”. (Riwayat an-Nasai’ dan At-Tirmizi) Perintah untuk menjaga dan menutup keaiban suami ialah terhadap perkara-perkara yang bersifat peribadi dan sosial. Adapun soal-soal asas dalam agama seperti solat, lebih-lebih lagi dalam keadaan bukan sahaja mengulangi tabiat lamanya bahkan keadaan umur yang semakin meningkat, ia tidak lagi boleh dibiarkan dan disembunyikan. Oleh itu, usaha dan kesabaran puan untuk terus mengingatkan suami tentang solat dengan baik tanpa jemu, mudah-mudahan mendapat ganjaran dari Allah SWT, disamping berdoa agar beliau berubah. Mengadulah dengan Allah agar rumahtangga puan dijagaNya. Kalau ada sesuatu perkara yang isteri tidak suka tentang suami, banyakkan berdoa. Kita tidak boleh ubah suami kita, tetapi Allah SWT boleh mengubahnya. Jaga juga hubungan dengan Allah. Agar Allah pandang usaha puan. Semoga suami puan kembali menjadi seorang muslim yang beriman dan bertaqwa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.