Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukumnya sembahyang jamak/qasar kita jika kita sengaja memilih laluan lebih 2 marhalah semata-mata untuk membolehkan jamak/qasar sedangkan ada laluan yang lebih dekat, tetapi tidak mencapai 2 marhalah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah tidak harus bagi seseorang itu memilih jalan yang lebih jauh dengan sengaja tanpa ada sebarang hajat. Jika dia memilih juga untuk melalui jalan yang jauh tersebut tanpa sebarang hajat, maka dia tidak dibolehkan untuk solat jamak dan qasar. Telah berkata Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff di dalam kitabnya Taqrirat al-Sadidah, yang bermaksud : “Jika ia berjalan melalui jalan tersebut (yakni jalan yang panjang) dengan hajat yang sahih: seperti mudah perjalanannya atau aman perjalanannya, maka harus ke atasnya untuk mengqasarkan solat sepanjang perjalanan itu, manakala jika tidak ada hajat dengannya maka tidak harus ke atasnya qasar.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.