Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Pada kali pertama, Sah atau tidak lafaz cerai "____kan ceraikan degan talak satu" Pada kali kedua saya bergaduh, saya ada lafaz talak tetapi saya tidak ingat akan ayatnya, pada masa yang sama isteri saya beritahu dia tidak dengar akan lafaz yang saya lafazkan, dan setahu dia tiada lafaz yang dibuat, perkara tersebut telah lama berlaku dan saya juga ingat lupa akan perkara tersebut, adakah jatuh talak tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Jatuh talak dengan penggunaan lafaz yang sorih seperti yang tuan nyatakan iaitu “ceraikan dengan talak satu.” 2. Jika tuan benar-benar yakin bahawa tuan telah melafazkan talak dengan mengunakan lafaz-lafaz yang sorih, seperti cerai atau talak, maka jatuhlah talak kepada isteri dengan talak satu. Namun, jika tuan hanya menggunakan lafaz kinayah seperti : “pergilah engkau”, “kita putus” dan sebagainya, ia perlu merujuk kepada niat tuan ketika melafazkan perkataan tersebut. Jika tuan tidak pasti sama ada telah melafazkan lafaz talak tersebut atau tidak, maka dihukumkan tuan tidak melafazkannya, maka tidak jatuh talak terhadap isteri. Ini berdalilkan dengan satu kaedah fiqh iaitu: اليقين لا يزال بالشك Maksudnya: Keyakinan tidak terhapus dengan keraguan. Sebaiknya, tuan hendaklah mendaftarkan pengesahan lafaz cerai pada kali pertama itu ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran bagi menentukan status perkahwinan tuan dan isteri serta tindakan yang selanjutnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.