Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: As salam mualaikum. Saya ada dilemma mengenai masalah talak suami dan isteri. Ada tiga persoalan yang hendak saya tujukan dan saya berharap pihak tuan akan dapat memberi penerangan yang jelas bagi setiap persoalan berkenaan. 1) Ketika berlaku pertengkaran besar di antara suami dan isteri, disebabkan tahap kemarahan suami yang begitu tinggi suami pun berkata kepada isteri: “Keluar saja dari bilik, jatuh talak.” Namun, suami sebenarnya berniat sebagai menggertak/ ancaman kepada isteri agar tidak keluar dari bilik. Tidak ada pun terlintas untuk menceraikan isteri. Namun, disebabkan marah yang teramat sangat sehingga menyebabkan suami tidak dapat berfikir secara kebiasaannya, terkeluarlah lafaz tersebut. Setelah suami dan isteri berbaik-baik, isteri lupa mengenai syarat/ taklik tersebut sehingga menyebabkan isteri keluar dari pintu yang dilarang sebagai hajat untuk mengambil pakaian. Isteri pula keluar dari bilik bukan kerana mahu menyahut penceraian tersebut, sebaliknya membawa pakaian masuk ke dalam bilik. Soalannya, adakah jatuk talak berdasarkan senario berkenaan? Selain itu, bolehkah pihak tuan memberi ulasan mengenai lafaz yang suami ucapkan tersebut. Adakah ia berbentuk lafaz yang soreh atau yang jelas? Ini kerana saya ada membaca yang bentuk lafaz tersebut dikatakan tidak sempurna, kerana ia menunjukkan seolah-olah mahu menceraikan isterinya tetapi pada masa yang sama perkataan talak itu tidak ditujukan kepada isterinya atau tidak mengkhitobkan kepada individu berkenaan. Lafaz tersebut lebih kepada pemberitahuan semata-mata. Boleh juga jelaskan apa yang dimaksudkan dengan perkataan 'mengkhitobkan'? 2) Semasa pertengkaran suami dan isteri, isteri pun berkata, "Saya tidak mahu bersama awak!". Suami pun membalas, "Okay, awak boleh pulang ke rumah (mertua).". Kemudian suami berkata kepada anak-anak yang belum baligh, "Jika ditanya oleh orang di sana, beritahu ayah tidak lagi bersama ibu. Tunggu saja ayah yang baru.". Semasa suami melafazkan ucapan tersebut, sememangnya langsung tiada niat untuk menceraikan isteri. Malah suami langsung tidak terfikir atau ada niat melafazkannya sebagai lafaz kinayah apatah lagi secara jelas untuk menjatuhkan talak. Sebaliknya, membalas seperti perbualan biasa sahaja tetapi dengan perasaan geram kerana isteri berkata begitu dan mahu pergi ke rumah mertua tanpa membawa suami. Lafaz yang dizahirkan itulah yang dimaksudkan. Tidak ada makna tersirat. Namun, disebabkan isteri merasa ragu, maka saya membawa perkara ini sebagai kepastian bagi menyakinkan isteri. Persoalannya adakah ia merupakan sebagai lafaz talak? 3) Soalan terakahir, isteri ada menyatakan 3 permintaan sebagai syarat untuk memaafkan dan menerima suami semula. Ketiga-tiga permintaan adalah sangat berat untuk diterima, dan salah satu permintaan tersebut ialah jika suami melanggarnya maka akan jatuk talak terhadap isteri. Suami sememangnya tidak mahu menerima permintaan-permintaan yang dinyatakan isteri, dan ada percubaan untuk menolak serta menukar permintaan tersebut, terutamanya yang berkaitan dengan talak. Tetapi isteri pada masa itu sangat nekad untuk tidak memaafkan, menerima dan malah sanggup meninggalkan suami. Maka dengan rasa berat hati dan keterpaksaan, suami pun terpaksa bersetuju dengan kesemua permintaan yang diberikan. Selain daripada mengelakkan daripada isteri bertindak keluar dari rumah dan meninggalkan suami serta anak-anak, ia adalah sebagai menenangkan emosi serta mengambil hati isteri. Namun, suami tidak melafazkan syarat-syarat tersebut. Maksudnya, suami tidak ada melafazkan, “Jika saya melanggar syarat/ taklik yang diberikan, maka akan jatuhlah talak saya kepada awak.”. Sebaliknya suami cuma berkata dengan terpaksa, “Okay, mana saja.”. Itupun bukan dengan niat sebagai tanda ‘ya’ atau ‘setuju’ yang hakiki. Beberapa hari kemudian, isteri sekali lagi ada mengingatkan permintaan-permintaan tersebut. Kini setelah suami berasa keadaan kembali lebih tenang, maka suami pun membuat perundingan agar tidak mencagarkan talak sebagai syarat. Akhirnya, isteri pun bersetuju. Persoalan pertama, adakah talak talik tersebut sah? Kedua, adakah talak taliq itu tidak valid/ wujud sebenarnya kerana suami tidak ada melafazkan dengan sempurna/ jelas/ soreh? Sebaliknya hanya berkata, “Mana saja.”.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan; 1. Lafaz taklik yang diucapkan itu adalah jelas. Oleh itu apabila isteri keluar (melanggar taklik) maka, jatuhlah talak. Walaupun bukan bertujuan menyahut perceraian. Jika pasangan masih hendak meneruskan perkahwinan. Suami hendaklah merujuknya semula dalam tempoh iddah. Bagaimanapun oleh kerana lafaz itu berbentuk umum (kepada siapa ia ditujukan) maka ia perlu dirujuk kepada niat suami mengucapkan lafaz tersebut. Bagi memuktamadkan kedudukan sebenarnya, perkara ini hendaklah dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan status perkahwinan dan proses selanjutnya. 2. Lafaz tersebut merupakan lafaz kinayah yang memerlukan niat. Oleh kerana suami tidak berniat cerai, maka tidaklah jatuh talak. Tentang perasaan ragu-ragu yang timbul dari isteri, ia perlu dirujuk ke Bahagian Undang-undang, Jabatan Agama Islam Negeri, supaya dapat dijelaskan. 3. Dalam lafaz taklik nikah ada menyebutkan, jika suami cuai menjalankan tanggungjawabnya, hingga menyebabkan cerai, kemudian isteri enggan menerima apa dirujuk, ia boleh menyebabkan jatuh lagi satu talak. Perlu diingat, bahawa lafaz yang berkaitan dengan cerai sama ada soreh atau kinayah, ia tidak boleh dipermain-mainkan. Dalam erti kata ia tetap berkuatkuasa. Oleh apa yang dipersoalkan, perlulah dirujuk ke Bahagian Undang-undang Keluarga, agar dapat diputuskan kedudukannya yang sebenar dan dibuat tindakan yang tuntas (sempurna) serta bertujuan direkodkan jika berkaitan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.