Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan, Jika selepas akad, suami lafaz taklik jika tidak beri nafkah selama 4 bulan berturut turut, isteri mengadu qadi maka jatuh talak. Persoalannya, jika berlaku penceraian talak 1 didalam perkahwinan tersebut bukan disebabkan oleh lafaz taklik tersebut dan suami merujuk semula isterinya, adakah masih sah lagi lafaz taklik tersebut didalam perkahwinan mereka kerana masih ada 2 talak lagi. Adakah lafaz taklik tersebut sah sehingga kiamat ataupun sehingga akhir hayat kerana telah berlaku talak bukan kerana penceraian tersebut. Diharap pihak tuan dapat membalas persoalan ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, lafaz cerai taklik adalah termasuk dalam tiga kali talak yang dibenarkan oleh syarak kepada suami dan ianya sah selagi akad nikah tersebut masih kekal dan tidak dibubarkan, kerana kesannya tetap sama seperti talak soreh (talak yang dilafazkan secara jelas). Adapun jika suami dan isteri tersebut bernikah semula dengan akad yang baharu atas sebab tertentu, maka lafaz cerai taklik pada akad nikah yang lalu secara automatik akan terbatal. Kesimpulannya, jika berlaku penceraian talak satu di dalam perkahwinan tersebut bukan disebabkan lafaz taklik yang dilafazkan selepas akad nikah, maka talak bagi suami hanya berbaki dua talak sahaja lagi, termasuk yang taklik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.