Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Soalan: saya berkahwin dan bekerja sebagai kakitangan awam dengan gaji sekitar 3 ribu sebulan. suami saya bekerja sendiri gaji tidak menentu tetapi dlm lingkungan 2 ke 3 ribu sebulan. Kami berusia di awal 50 an. masalah saya ialah suami mengambil semua gaji saya dengan memegang kad ATM saya. saya hanya di berikan duit makan 20 ringgit sehari. Jika saya minta lebih jarang sekali dia beri. Perkara ini sudah berlanjutan selama saya bekerja kira-kira 22 tahun. saya menghadapi dilema kerana saya tidak dapat memberi bantuan kewangan kepada ibu saya yang merupakan ibu tunggal. suami saya juga berlaku tidak adil apabila sering memberi duit kepada ibunya yang juga ibu tunggal. Beliau melayan keluarganya dengan baik sekali tetapi apabila dengan keluarga saya dia acuh tidak acuh. Selain dari nafkah zahir yang tidak memuaskan hati saya, nafkah batin juga terabai. Saya seperti sudah tawar hati dengan suami saya tapi saya bertahan kerana anak-anak seramai 3 orang yang masih bersekolah dan berusia dalam lingkungan 14 hingga 20 tahun. Saya selalu memendam rasa kerana tidak dapat memegang duit gaji saya malah di perlakukan seperti kanak-kanak sekolah yang hanya diberikan duit makan seminggu 20 ringgit . Saya suarakan ianya tidak mencukupi tapi tidak di endahkan. Saya tidak pandai melawan namun saya memendam perasaan. Suami saya memegang kuasa veto. saya tidak pandai hendak bertengkar dan selalunya saya akur dengan apa juga keputusannya walaupon jiwa saya tertekan. Saya juga mengalami tekanan perasaan yang mendalam sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri dan mengambil ubat anti depresi. Namun demikian suami masih tidak menyedari tekanan yang saya alami akibat memendam perasaan. Dia beranggapan saya stress di tempat kerja sehingga depresi. Saya sudah tawar hati sekarang. Saya ingin memohon untuk berpisah tetapi saya tidak berani dan kerana anak-anak. Saya seringkali berpikir untuk lari dari rumah tetapi saya tidak tahu hendak kemana. saya tidak mahu melibatkan orang lain dalam masalah saya. Persoalan sekarang berdosa kah saya memohon untuk bercerai? sekiranya ingin bercerai apakah yang perlu saya lakukan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wang atau harta yang dimiliki oleh isteri melalui pekerjaannya (gaji) atau hibah atau warisan (pusaka) adalah menjadi milik peribadi isteri. Suami tidak boleh menggunakannya melainkan dengan keizinan dan kerelaan isteri. Namun, jika isteri mengizinkan, maka halallah bagi suaminya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (an-Nisa’ : 4) Adapun, sebahagian harta suami merupakan hak isteri kerana seorang suami wajib memberi nafkah kepada isterinya setakat yang mampu. Suami tidak berhak mengambil dan mengawal harta isterinya tanpa kerelaan empunya harta. Bagi menyelesaikan perkara ini, jika perbincangan yang baik dengan suami tidak berjaya dan tidak diendahkan, puan perlu mendapatkan sokongan daripada keluarga terdekat puan yang boleh dipercayai dan membawa perkara ini ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal bagi mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan. Dalam isu ini, puan tidak berdosa untuk menuntut cerai kerana suami telah menganiaya kehidupan puan sehingga puan memendam perasaan dan mendapatkan rawatan psikiatri. Jika permasalahan ini berterusan dan tiada tindakan serta jalan penyelesaian, ia akan sentiasa memberi tekanan yang berpanjangan kepada puan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.