Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, seorang pegawai kerajaan seperti guru tidak dibenarkan mempunyai sumber pendapatan lain seperti berniaga. Apakah hukum seorang guru membuat bisnes seperti biskut raya atau homestay untuk mendapatkan duit sampingan? dari segi halal haram dan keberkatan rezeki. Terima kasih..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi pegawai kerajaan yang membuat bisnes sampingan seperti yang dinyatakan, mereka adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, menyatakan bahawa mana-mana pegawai awam yang bercadang untuk melakukan pekerjaan luar hendaklah dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya. Ketua Jabatan hendaklah memberi perhatian kepada tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan Tatatertib) 1993 semasa menimbang permohonan berkenaan dan hendaklah memastikan pekerjaan itu; a) tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa pegawai itu dikehendaki melaksanakan tugas rasminya. b) tidak dengan apa-apa cara cenderung menjejaskan kebergunaan pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam; dan c) tidak dengan apa-apa cara cenderung bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai pegawai perkhidmatan awam. Justeru, bagi penjawat awam yang melakukan pekerjaan luar adalah harus dan gajinya adalah halal, dengan syarat hendaklah dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya. Walaubagaimanapun, pekerjaan luar tersebut tidak boleh menggunakan masa kerja hakikinya sebagai penjawat awam. Jika dilakukan juga, hukumnya adalah haram dan gajinya adalah syubhah kerana perbuatan itu mencuri masa waktu pekerjaan tetapnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.