Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya terlalu was was dalam sesuatu perkara sehingga saya rasa semua benda yang di lakukan tidak betul ...terutama dalam hal ibadah ...saya nazar tercakap tapi saya taknak pon buat sebenarnya nazar untuk buat sesuatu tu tidak bergerak statik je contoh barang tu biar je duduk kat situ tak boleh bergerak ...sory masalah saya ni susah nak faham ...adakah sah nazar jika hati tak tenteram saya selalu was was dalam nazar tolong saya jawap
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, nazar dari segi bahasa bermakna janji melakukan sesuatu perkara sama ada baik mahupun buruk. Dari segi syarak pula, ia bermakna janji untuk melakukan sesuatu yang baik sahaja (dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT). Secara umumnya para fuqaha menyatakan, nazar itu bermakna, seseorang yang mewajibkan dirinya melakukan sesuatu ibadah yang pada asalnya tidak pun diwajibkan ke atasnya. Dalam surah al-Hajj ayat 29, Allah SWT menegaskan bahawa nazar wajib disempurnakan. Namun, ada nazar yang boleh diganti dengan denda (kafarah) seperti kafarah sumpah. Contohnya dia berkata : “Jika aku dapat 6A dalam UPSR nanti, aku nak berpuasa tiga hari”. Nazar seperti ini sama seperti sumpah, sehingga ulama menyatakan jika dia tidak mahu berpuasa, boleh diganti dengan denda sama seperti kafarah sumpah. Namun, jika nazar yang diucapkan tidak mampu ditunaikan atau mustahil ditunaikan, maka tidak wajib ditunaikan dan diganti dengan kafarah nazar seperti berikut :- i. Memberi makan dan pakaian kepada 10 orang miskin. ii. Memerdekakan seorang hamba. iii. Melakukan puasa selama tiga hari berturut-turut dengan niat membayar kafarah sumpahnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.