Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt. Bolehkah jika kita mandi wajib bagi wanita (setelah 40 hari selepas bersalin) yang tidak sedarkan diri (koma). Proses mandi bagi pesakit ini sememangnya dilakukan setiap hari oleh jururawat.adakah boleh kita niatkan untuk mandi wajib dan bagaimanakah kaedahnya. Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, pesakit wanita ini sedang dalam keadaan tidak sedarkan diri (koma). Maka tidak wajib ke atasnya untuk solat dan tidak perlu untuk mandi wajib. Beliau hanya wajib untuk mandi hadas besar apabila telah sedar daripada koma. Pihak lain tidak boleh niatkan mandi wajib untuknya. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ Maksudnya: “Diangkat pena (tidak berdosa) daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dan orang yang gila sehingga dia berakal.” (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.