BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Saya telah berkhidmat di satu pejabat selama 9 tahun dan akan bersara tidak lama lagi. Saya ada amalan harian yang saya amalkan secara istiqamah. Adakah saya perlu bercerita tentang amalan ini dalam ucapan persaraan saya nanti. Sekiranya saya tidak bercerita, adakah rakan sepejabat boleh mendakwa saya di akhirat nanti. Bercerita boleh dianggap riak dalam amalan. Tidak bercerita takut didakwa di akhirat nanti. Mohon penjelasan


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, mengajak ke arah kebaikan dan bercerita tentang amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT amatlah dituntut di dalam Islam. كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ Maksudnya: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali Imran : 110) Sheikh Abdul al-Somad al-Falimbani telah menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Hidayatu al-Salikin tentang riya’. Telah berkata Imam Hujjatul Islam itu: “Hakikat riya’ itu iaitu menuntut martabat yang kepujian di dalam hati manusia dengan mengerjakan ibadah dan dengan buat amal kebajikan.” Riya’ juga dikategorikan oleh ulama sebagai syirik khafi yakni syirik yang tersembunyi. Maka ikhlaskanlah niat tuan dalam menyampaikan dan berkongsi akan kebaikan tersebut hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT semata-mata, semoga mereka juga mendapat manfaatnya. Moga amalan tersebut diterima oleh Allah. Berkenaan urusan di akhirat nanti, ia adalah urusan Allah SWT yang Maha Mengetahuinya. Sementara di dunia ini buatlah amalan sebaik mungkin dan seikhlas hati kerana semuanya adalah dalam penilaian Allah SWT. Firman Allah SWT : “Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.” (Taha : 110) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 190

message user image