BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Apakah seorang isteri yang telah lama berkahwin tetapi tidak disetubuhi (sebab penyakit) tetapi hanya melakukan adegan ringan dianggap isteri derhaka? Adakah jika bercerai isteri tersebut boleh menuntut harta sepencarian? Adakah beliau juga boleh menuntut lain-lain nafkah? Untuk pengetahuan pihak tuan, mas kahwin juga si suami masih berhutang dengan isteri. Adakah si suami wajib memulangkan terlebih dahulu mas kahwin tersebut kepada isteri sebelum bercerai atau sebaliknya? Mohon pencerahan dari pihak tuan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Setiap penyakit hendaklah diusahakan untuk merawatnya. Jika isteri sengaja tidak mahu disetubuhi disebabkan penyakitnya tanpa berusaha mendapatkan penawar atau rawatan, hukumnya adalah berdosa. 2. Isteri yang disabitkan nusyuz oleh Hakim, tidak berhak untuk mendapat nafkah dari suaminya sehinggalah isteri tersebut bertaubat. Adapun, isteri yang telah diceraikan boleh membuat tuntutan harta sepencarian semasa dalam tempoh perkahwinanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (an-Nisaa' :32) 3. Apabila telah bercerai, antara hak-hak isteri yang boleh dituntut ialah : Mut’ah, Nafkah semasa iddah, nafkah anak, nafkah-nafkah yang tertunggak, tuntutan hadhanah, hak tempat tinggal (semasa iddah), harta sepencarian serta hutang mas kahwin. 4. Mas kahwin wajib dibayar semasa perkahwinan diakadnikahkan. Jika telah berlaku perceraian, bekas isteri boleh menuntutnya kerana mas kahwin yang belum dibayar oleh bekas suami dianggap sebagai hutang. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib”. (an-Nisa’ : 4) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 95

message user image