Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sahabat saya mendakwa bahawa dia merupakan keturunan nabi muhammad dan merupakan salah seorang yang Allah pilih sebagai penyelamat ummat akhir zaman. Dia dikenali di arsy sebagai Safiyyah binti Abdullah walhah nama dan nama ayahnya lain. Dia kata boleh berinteraksi dengan malaikat dan pernah bertemu dengan Nabi Khidir. Dia mendakwa boleh berinteraksi dengan jin dan boleh berinteraksi dengan orang yang telah meninggal dunia. Dia merupakan anak didik ustaz azman albanjari. Pengamal perubatan islam yang mampu berinteraksi dengan malaikat, jin dan syaitan dan mendakwa dia dijaga oleh malaikat. Mohon pencerahan daripada yang lebih arif. Bolehkah manusia biasa memiliki kelebihan seperti para nabi. Harap dapat bantu.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, perkara berlawanan dengan adat kebiasaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para Nabi dan Rasul adalah diistilahkan sebagai Mukjizat manakala jika ianya dikurniakan kepada orang soleh atau wali Allah SWT, maka ianya dinamakan karamah. Adapun jika perkara berlawanan adat kebiasaan jika ianya berlaku kepada orang yang fasik dan zalim supaya hanyut dalam dunianya maka ianya dinamakan sebagai Istidraj. Karamah adalah seperti doa dimaqbulkan dan boleh berinteraksi dengan makhluk Allah SWT yang lain seperti jin. Kelebihan yang dikurniakan ini menambah ketaatannya dan tidak membuatkannya sombong, kerana yakin segalanya adalah atas ketentuan Allah SWT. Kelebihan itu bukanlah untuk dihebahkan kepada orang lain kerana ianya boleh menimbulkan perasaan sombong dan lupa diri. Firman Allah SWT ; قُل لَّآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ إِنِّى مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ Maksudnya : “Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib, Aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An’am ayat : 50) Manusia biasa boleh dikurniakan kelebihan oleh Allah SWT, tetapi tidak sampai kepada tahap kelebihan yang dikurniakan kepada para Nabi dan Rasul. Kelebihan yang dikurniakan bukanlah untuk kebanggaan dan diceritakan kepada orang lain akan tetapi ianya adalah ujian Allah SWT untuk menilai keimanan seseorang. Jika semakin bertambah keimanannya maka ia adalah Karamah dan jika sebaliknya maka dibimbangi ianya adalah Istidraj. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.