BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Bolehkah suami menuntut wang hantaran kalau isteri yang meminta untuk bercerai?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, wang hantaran berbeza dengan mahar yang memang wajib diberi kepada isteri. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya”. (an-Nisa’ : 4) Adapun, wang hantaran merupakan hadiah/ hibah yang diberi oleh suami kepada isteri, hukumnya adalah sunat. Seseorang tidak boleh menuntut semula hadiah atau sedekah yang telah dia berikan kepada individu lain, melainkan bapa/ibu kepada anak atau datuk/ nenek kepada cucu. Maka, suami tidak boleh menuntut semula wang hantaran yang telah diberi kepada isteri. Hadith yang yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda : العائد في هبته كالكلب يقيء ثم يعود في قيئه Maksudnya : “Orang yang menarik balik hibahnya seperti anjing yang muntah, kemudian memakan muntahnya kembali” (Riwayat al-Bukhari) Jika isteri itu meminta untuk bercerai atau disebut tebus talaq (khulu’), maka Islam membenarkan. Bayaran tersebut tidak ditentukan kadarnya, asalkan ianya mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Maksudnya, bukanlah suami menuntut kembali wang hantaran, sebaliknya isteri yang meminta cerai dikehendaki membayar tebusan untuk talak daripada suaminya. Jika suaminya menuntut bayaran yang sama nilainya dengan wang hantaran semasa perkahwinannya, maka isteri perlulah bersetuju, sekiranya tiada persetujuan, ia akan diputuskan oleh Hakim berdasarkan pertimbangan dan status kewangan pasangannya. Enakmen berkaitan perkara ini adalah seperti berikut : ENAKMEN 2 TAHUN 2003 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003 BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN ________________________________________ Seksyen 49. Perceraian khul’ atau cerai tebus talaq (1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh dirujukkan. (2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talaq itu dengan sewajarnya dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan. (3) Jika jumlah bayaran tebus talaq tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu. (4) Jika suami tidak bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau tidak hadir di hadapan Mahkamah sebagaimana diarahkan, atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya. Justeru, suami isteri tersebut bolehlah mengemukakan permohonan perceraian secara khulu’ ini di Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk proses selanjutnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 1102

message user image