BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Kawan saya sering mengunakan alasan boleh bertaubat untuk membolehkannya melakukan maksiat. Persoalannya Bolehkah seseorang menjadikan alasan boleh bertaubat setiap kali melakukan dosa dengan tujuan untuk terus menerus melakukan dosa. Kerana ia selalu berkata Allah suka akan hambanya yang sering bertaubat.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, setiap muslim yang telah mukallaf (baligh, waras, berakal) yang melakukan dosa, dosanya akan dipertanggungjawab ke atas diri masing-masing. Justeru, bagi sesiapa yang terjerumus ke dalam perbuatan dosa, dikehendaki bertaubat dengan taubat nasuha dan kembali ke pangkal jalan yang lurus. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali'Imraan : 135) Taubat yang dilakukan itu mestilah syaratnya taubat yang sebenar-benarnya dan menyesali serta tidak mengulangi dosanya. Itulah taubat yang akan diterima oleh Allah SWT. Bukannya taubat yang main-main dan disengajakan melakukan dosa dengan alasan Allah akan mengampunkanya. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang mempersendakan hukum-hukumNya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar”. (At-Taubah : 63) Oleh itu, tidak boleh menjadikan alasan membuat maksiat untuk selalu bertaubat. Telah disebut oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam kitabnya Hidayatus Salikin bahawa syarat-syarat taubat adalah meninggalkan maksiat, menyesal akan perbuatannya dan bercita-cita bahawa tiada kembali kepada maksiat itu selama-selamanya. Maka, suka melakukan maksiat menunjukkan bahawa yang dilakukan selama ini bukanlah sebenar-benar taubat dan boleh membawa mempersendakan sifat Maha Pengampun Allah SWT. Sebagai seorang muslim yang telah mengetahui akan hukum hakam yang telah Allah perintahkan sebagaimana di dalam al-Quran, bukanlah alasan untuk disalahguna dan dijadikan kelonggaran ke atas perlakuan dosa masing-masing. Bagaimana pula jika pelakunya tidak sempat bertaubat ketika dosa dilakukan?. Kisah-kisah sebegini banyak diceritakan di dalam al-Quran tentang umat terdahulu yang boleh dijadikan panduan untuk umat Islam akhir zaman ini. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 236

message user image