Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustz, Saya ingin bertanya tentang mengambil harta kilang contoh seperti barang yang kilang keluarkan diambil untuk kegunaan sendiri. untuk pengetahuan ustaz, kilang itu sudah pun ditutup. macam mana saya hendak pulangkan barang tersebut atau apa yang harus saya buat mengikut hukum? terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jika barangan yang diambil dari kilang tersebut telah mendapat keizinan dari pihak kilang, maka hukumnya adalah harus. Tetapi jika sebaliknya, maka perbuatan tersebut adalah salah kerana mengambil barangan tanpa izin pemiliknya (pihak kilang). Antara cara untuk menyelesaikannya, tuan perlulah memulangkan semula atau membayar (harga barangan tersebut) kepada pemilik kilang dengan berusaha mencari dan berjumpa dengannya. Jika tidak, maka barangan tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal negeri masing-masing. Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut: 1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.