BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, berkenaan ibadah qurban. saya sudah berkeluarga. pertama saya diajak oleh salah seorang ahli keluarga untuk terlibat sebagai peserta qurban tahun 2019 ini kerana tahun 2018 saya terlibat dalam ibadah qurban tetapi untuk tahun ini saya menolak atas sebab faktor kewangan. kali kedua saya diajak lagi sekali kerana kekurangan peserta dan lembu sudah pun dibeli tetapi saya menolak dan menyatakan tidak perlu memaksa tapi dibalas dengan nada marah-marah dan mula memerli dan menyatakan sunat muakkad. ia tidak habis sahaja disitu, masih bercerita berkenaan salah seorang ahli keluarga yang lain baru bekerja gaji rm300 untuk terlibat sekali. dalam keadaan begini membuat saya tidak berasa selesa kerana cara yang seakan meminta untuk terlibat sebab bayaran yang diperlukan sebanyak rm700 termasuk upah. jika keadaan sebegini, apakah sebenarnya hukum qurban ini?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, hukum melakukan ibadah qurban adalah sunat muakkad. Bermakna, sangat dituntut (tetapi tidak wajib). Ia baik dan digalakkan supaya dilaksanakan setiap tahun bagi yang berkemampuan. Ibadat merupakan ketaatan mutlak kepada sesuatu perintah Allah SWT yang perlu dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya dan kaifiat (caranya) serta dilakukan dengan penuh ikhlas. Melaksanakan ibadah qurban dengan cara “paksaan” adalah sah, tetapi boleh menjejaskan kebajikan (pahala) dan hikmahnya (bertaqwa). Firman Allah SWT yang bermaksud : “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar”. (Al-Bayyinah : 5) Begitu juga dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”. (Al-Hajj : 37) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 161

message user image