BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Soalan: As salam, Saya telah mencuri duit syarikat tempat saya bekerja berjumlah RM 800,000.00 dalam masa 10 tahun. Syarikat itu dimiliki oleh ayah saya sebanyak 30% dan dua lagi ahli kongsi sebanyak 30% dan 40% masing-masing. Saya telah memberitahu ayah saya tentang duit yang saya curi dan dia telah menghalalkan bahagiannya. Soalan 1 : Boleh kah saya tidak memberitahu 2 lagi ahli kongsi ayah saya dan membayar semula semua wang yang telah saya curi? Soalan 2 : Boleh kah ayah saya menggunakan duit yang dia ada di syarikat untuk mendahulukan baki hutang RM 540,000 dan saya bayar semula kepada ayah saya secara ansuran mengikut perjanjian antara saya dan ayah saya. Minta pandangan ustaz atau ustazah dalam isu ini. Terima kasih & as salam,


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan; 1. Tuan perlu bertaubat, seterusnya adalah menjadi kesalahan jika tidak memaklumkan kepada dua lagi rakan kongsi ayah. Syarikat tersebut dimiliki oleh dua orang lagi penama, justeru setiap perkara yang berlaku di dalam syarikat perlu diketahui dan dimaklumkan kepada setiap pemilik nama syarikat tersebut, lebih-lebih lagi apabila melibatkan urusan kewangan syarikat. Pemilik kedua dan ketiga mempunyai hak dalam membuat keputusan terhadap wang syarikat yang telah dicuri. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab Riyadh al-Salihin menyatakan : Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya adalah ; • Menjauhi dan meninggalkan maksiat. • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut. • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama- lamanya. • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. 2. Boleh sekiranya dua lagi pemilik syarikat bersetuju dengan keputusan tersebut. Apa yang penting di sini adalah perkara yang sebenar perlu dimaklumkan kepada kesemua penama yang memiliki syarikat tersebut. Ayah tuan tidak boleh membuat apa-apa keputusan tanpa pengetahuan yang lain kerana syarikat tersebut bukan dimiliki sepenuhnya oleh ayah tuan. Pemilik syarikat yang lain mempunyai kuasa dalam mengambil tindakan seterusnya sama ada memaafkan tindakan mencuri wang syarikat atau membuat laporan jenayah kepada pihak yang berkuasa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 191

message user image