Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Kemusyikilan dan pilihan yang ada bagi seorang Isteri yang baru kematian suami (dalam idah) untuk keluar ke rumah bagi menguruskan perihal urusan/tuntutan selepas kematian suaminya. Disebabkan si Isteri bersama seorang anak (3tahun) terpaksa menguruskan sendiri setiap urusan arwah suaminya ketika dia masih dalam tempoh idah. Sementara keluarganya (si Isteri) tidak dapat membantu kerana berada jauh di kampung (Terengganu). Apa yang boleh dilakukan oleh si Isteri bagi membolehkan dia keluar menguruskan urusan-urusan tersebut dalam tempoh iddah beliau...
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, seorang wanita yang kematian suami wajib ihdad (tidak berhias) sepanjang tempoh ‘iddahnya. Ini berdasarkan kepada hadith nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah Binti Abu Sufiyan RA bahawa baginda SAW bersabda: لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اﻟْﺂخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا Maksudnya : Tidak Halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. (Riwayat al-Bukhari) Iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari”. (al-Baqarah : 234) Dalam tempoh iddah, seseorang wanita tidak boleh keluar dari rumahnya melainkan dhorurah (mendesak) atau hajat yang penting seperti ke hospital untuk rawatan, dan ke kedai membeli makanan sekiranya tiada orang lain yang boleh membelikan untuknya. Maka hajat dan dharurah membenarkan wanita yang sedang ihdad untuk keluar daripada rumahnya. Namun keharusan ini hanya pada waktu siang sahaja dan tanpa bermalam di rumah lain. Terdapat dalil yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa, ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda: تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi) Berdasarkan hadith ini, wanita yang dalam ihdad dan ‘iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika dharurat (terpaksa). Ini kerana keadaan waktu malam yang tidak selamat berbanding waktu siang. Bahkan waktu siang adalah waktu bekerja, mencari nafkah dan sebarang urusan berkaitan hajat manusia. Mereka juga boleh berbicara dengan ahli keluarganya, menguruskan hal ehwal anak-anak dan rumahnya, serta mendapatkan keperluan asas hidupnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.