BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Mohon pencerahan Bab fikah. Saya sekarang menjaga ibu yg tua dan uzur. Persoalannya tentang kefardhuan solat ke atasnya. Beliau kini berusia 89 tahun, mengidap penyakit kencing manis dan kekurangan darah. Setiap bulan kena pergi hospital masuk darah. Beliau uzur dimana tidak dapat melihat dan berjalan, melainkan dipapah. Semua urusan keperluan beliau, makan minum, mandi dan tandas semua perlu dibantu. Selama 3 tahun tidak mampu puasa sebab kekurangan darah dan badan lemah tidak upaya. Kini ingatan beliau tidak stabil dan amat lemah. Selalu lupa, bukan sahaja bab keperluan, cara wuduk, cara solat dan bacaan-bacaan solat juga selalu lupa. Semasa solat yang awal dikemudian dan sebaliknya. Bila dipujuk mahu solat tapi kena ada org bimbing disebelahnya dari takbir sampai salam. Kalau tidak, tidak tentu pergerakan dan bacaannya. Dalam keaadan beliau yang begini adakah kefarduan solat masih tertanggung atas beliau? Sebagai anak saya ingin beri khidmat yang terbaik untuk ibu saya. Mohon pencerahan. Jazakallahu khairan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, antara syarat wajib solat adalah berakal. Solat tidak wajib ke atas mereka yang gila atau hilang akal termasuklah kepada mereka yang diuji dengan penyakit nyanyuk atau lupa yang kronik. Mereka sudah tidak lagi termasuk dalam golongan mukallaf yang diwajibkan solat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kewajipan solat dan ibadah-ibadah lain itu akan kembali wajib ke atas mereka sekiranya mereka kembali sedar daripada nyanyuk tersebut. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ Maksudnya: “Diangkat pena (tidak berdosa) daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dan orang yang gila sehingga dia berakal.” (Riwayat Abu Daud) Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “الْمَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “الْمَعْتُوهِ” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). Kesimpulannya, jika sekiranya sampai kepada tahap hilang ingatan, maka tidak syak lagi hukumnya adalah tidak wajib baginya solat. Walaupun begitu, memberi nasihat dan mengajak solat serta memimpin ke arah solat adalah tanggungjawab keluarga yang sudah pasti diberi pahala. Firman Allah SWT : لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ Maksudnya ; “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya” (al-Baqarah : 286) Syeikh al-Maraghi berkata : “Allah SWT tidak membebankan hamba-hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahanNya memberikan kemudahan kepada mereka”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 672

message user image