BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum tuan, Kemusykilan saya bersabit dengan harta pusaka peninggalan datuk/nenek. Baru-baru ini, tanah di kampung peninggalan arwah datuk dikenakan premium oleh kerajaan bagi lanjutan tempoh hakmilik tanah berkenaan. Ahli keluarga bermuafakat untuk sama-sama mengumpul dana bagi membayar premium tersebut dimana syer untuk pengumpulan dana bagi setiap waris berdasarkan kepada faraid yang pernah dilaksanakan pada harta-harta pusaka datuk yang lain sebelum ini. Selepas membayar premium tersebut, tanah pusaka akan dijualkan mengikut harga pasaran dan keuntungan yang dikatakan berlipat kali ganda akan dibahagikan semula mengikut faraid pada waris-waris. Kesulitan timbul apabila ada dikalangan ahli keluarga yang terdiri daripada keluarga anak yatim, asnaf dan ibu tunggal yang tidak mampu membayar syer yang dikenakan pada setiap waris. Kesempatan ini juga diambil oleh ahli keluarga yg lain yang lebih berkemampuan, untuk membayar syer premium tersebut bagi pihak keluarga asnaf/yatim/ibu tunggal dengan syarat hak serta keuntungan hasil jualan tanah akan dituntut oleh mereka yang membayar dengan menidakkan hak asnaf/yatim/ibu tunggal tersebut atau ada kebarangkalian keluarga yatim/asnaf tersebut cuma diberi sagu hati mengikut budi bicara keluarga yang mampu tersebut. Saya merasakan ni satu penindasan walaupun kos yang perlu dibayar adalah sedikit (RM150O ke RM3000) tetapi jumlah tersebut diluar kemampuan golongan ini. Soalan saya. 1. Apa pandangan ustaz serta hukumnya apabila seseorang itu mengambil kesempatan secara tidak langsung melakukan penindasan sedemikian rupa dalam keadaan dimana keluarga tersebut kurang/tidak mampu membayar syer untuk menyumbang kepada dana bagi premium harta pusaka tersebut. 2. Bolehkah pihak ketiga yang terdiri dari keluarga angkat mencampuri hal ehwal harta-pusaka dengan membayar syer dana bagi pihak keluarga asnaf/yatim/ibu tunggal tersebut dengan tujuan mengambilalih syer keluarga tersebut dan kemudiannya memberi/tidak memberi sagu hati apabila mendapat keuntungan hasil penjualan tanah itu kelak. 3. Apakah tindakan yang paling sesuai bagi mengelakkan penindasan sebegini. Adakah patut ahli keluarga lain sama sama membantu golongan asnaf yang merupakan ahli keluarga sendiri tanpa mengharapkan apa-apa balasan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, mengikut Islam, jika tiada apa-apa wasiat harta peninggalan datuk/ nenek, mesti ada penerima yang berhak mengikut hukum faraid. Tidak semua dikalangan keluarga boleh menerima yang menjadi haknya, kecuali jika ada persetujuan dikalangan penerima-penerima (secara faraid). Soal bayaran premium adalah bertujuan pelanjutan hak milik diperlukan. Memandangkan tanah tersebut mempunyai nilai yang tinggi dan berhasrat untuk dijual, maka kos yang perlu dibayar bagi yang tidak berkemampuan, bolehlah ditolak atau diambil daripada jumlah bahagian yang akan diterimanya. Oleh itu, persoalan pertama tidak boleh mengambil kesempatan yang berbentuk penindasan. Bagaimanapun, secara persetujuan boleh mencadangkan biaya (upah) perkhidmatan dalam jumlah yang munasabah atas dasar pengurusan. Kedua, keluarga angkat atas dasar nasihat boleh mengambil tahu supaya harta dapat diurus dengan betul. Mengambil tahu dengan tujuan memilikinya adalah tidak wajar. Bagaimanapun, menimbangkan pemberian kerana telah menjadi sebahagian keluarga adalah wajar dengan persetujuan semua pihak yang mempunyai hak. Ketiga, bantu-membantu adalah jalan sebaik-baiknya dan penindasan memang dilarang. Adalah baik jika mereka yang mempunyai hak melepaskan sebahagiannya untuk diagihkan kepada mereka dalam kalangan keluarga yang tidak menerima bahagian dan berkeadaan susah atau diwaqafkan atas nama arwah datuk atau nenek. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 204

message user image