Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz/ustazah. Saya ingin bertanya. Bagaimana status perkahwinan seseorang itu sekiranya 1)suami mengadu dengan perempuan lain masalah rumahtangga mengatakan duduk asing dengan isteri. Padahal isteri ada disisi dan tiada masalah pun. Melalui rutin harian seperti biasa. 2) suami mengaku belum berkahwin. Mengaku masih mencari yang sesuai untuk dijadikan isteri. 3) suami mengaku masih bujang pada perempuan lain semata untuk perhatian dan layanan seks (di alam maya - bertukar gambar dan video).
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, semua status perkahwinan tersebut, mereka masih lagi suami isteri. Adapun suami itu berdosa di atas perbuatannya berbohong. Justeru, suami hendaklah bertaubat di atas kesalahan tersebut, kerana perbuatan itu merupakan perbuatan orang munafik, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. katanya, Rasulullah SAW bersabda; آية المنافق ثلاث اذا حدث كذب واذا وعد اخلف واذا ائتمن خان Maksudnya : “Tanda-tanda orang munafik ada tiga: Apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkir, apabila diberi kepercayaan (amanah) dia khianat”. (Riwayat Muslim) Sebagai suami, hendaklah menjaga pergaulan dan elakkan dari berhubung atau membuka ruang kepada wanita lain tentang masalah dan aib dalam rumahtangga. Seorang suami yang telah berkahwin dan dalam masa yang sama dia mempunyai hubungan dengan wanita lain yang bukan mahramnya, hukumnya adalah berdosa, kerana ia boleh membawa dan mendorong kepada maksiat dan fitnah. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. (al-Israa : 32) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.