BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: 1.Adakah tariqat naqshabandi di Sungkai sesat? 2.Ciri-ciri tariqat yang boleh diikuti 3.Apakah hukum bertariqat?4.Adakah benar, seorang yang bertariqat sembahyang jumaat tetapi sembahyang pula zohor di rumah dengan alasan imam yang diikuti adalah orang awwam? 5.Adakah benar,orang bertariqat cukup sekadar berzikir/bertawajjuh dan kurang membaca AlQuran? Adakah benar, seorang yang bertariqat tidak solat Jumaat dengan alasan imam bukan orang tariqat? Adakah pengikut tariqat perlu patuh kepada semua arahan tuan guru(ketua tariqat) antaranya membuat kutipan untuk bayaran bulanan kenderaan tuan guru tersebut, mesti menyambut Hari Raya bersama tuan guru pada Hari Raya pertama, seminggu sekali mesti ke tempat tariqat untuk berkhidmat


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan; 1. Sehingga kini, tiada lagi fatwa yang mengharamkan Tarekat Naqsyabandi di Sungkai. Oleh sebab itu, ajaran tarikat tersebut boleh diamalkan. Namun, jika terdapat perkara yang meragukan dari segi pengamalan, pihak tuan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa agama. 2. Ciri-ciri tarikat yang boleh diikuti adalah tarikat yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, ibadah dan akhlak. 3. Hukum bertarikat adalah harus kerana ia merupakan salah satu cara atau disiplin yang disusun dan diamalkan oleh para ulama’ sufi untuk melatih dan mendidik jiwa manusia agar memiliki akhlak yang sempurna. 4. Sebahagian pengikut tarikat tertentu yang solat jumaat bersama imam di masjid kemudian melaksanakan solat zohor selepasnya dengan alasan imam yang diikuti adalah orang awam adalah bercanggah dengan ajaran islam. Lebih-lebih lagi jika imam tersebut dilantik oleh ulil amri (pemerintah). Firman Allah SWT di dalam surah; يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا Maksudnya ; “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (An-Nisa’ ayat : 59) 5. Umat Islam amat dituntut untuk membaca al-Quran dan berzikir. Melebihkan antara salah satu keatas yang lain adalah mengikut kepada kecenderungan hati. Tidak salah untuk memperbanyakkan zikir berbanding bacaan al Quran, akan tetapi jangan langsung bacaan al-Quran ditinggalkan. Tarikat yang benar akan sentiasa mendekatkan pengikutnya dengan al-Quran. Hadis daripada Abu Umamah al-Bahili , beliau berkata; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda” ; اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ Maksudnya; “Bacalah oleh kamu akan Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Riwayat Muslim) 6. Sebahagian pengikut tarikat yang jahil tidak menunaikan solat jumaat atas alasan imam bukan dari kalangan pengikut tarikat adalah bercanggah dengan ajaran islam. 7. Jika arahan ketua tarikat menjurus kepada kebaikan dan pengabdian diri kepada Allah SWT, maka arahan tersebut wajib ditaati. Akan tetapi, jika arahan tersebut bercanggah dengan akidah, syariat atau akhlak Islam, maka arahan tersebut haram dipatuhi. Sabda Nabi SAW; إنما الطاعة في المعروف Maksudnya; “Sesungguhnya ketaatakan itu hanya pada perkara yang ma’ruf iaitu perkara bukan maksiat”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 263

message user image