Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukumnya apabila seorang suami yang tidak bekerja menggunakan wang pencen ibubapanya untuk menafkahi isteri dan anak-anak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah menjadi tanggungjawab suami untuk menunaikannya. Dalam hal ini, sekiranya diberi keizinan oleh ibu bapa untuk menggunakan wang pencen tersebut, maka ia diharuskan. Walau bagaimanapun, sebaiknya suami yang sihat tubuh badan berusaha dengan kudratnya dalam memenuhi nafkah isteri dan anak-anaknya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”. (at-Talaq : 7) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.