Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukumnya orang yg sering melewatkan solat walaupun dalam keadaan sedar. Contohnya dia telah sedar dari tidur 6.20 pagi, namun tidak terus solat hanya membuat kerja-kerja lain sehinggalah 7.30 atau 8.00pagi baru solat subuh. Hampir setiap hari ustaz. Saya ada menegurnya. Katanya dia solat juga. Bagaimana cara untuk saya menasihatinya. Saya juga bukan seorang yang banyak ilmu agama ustaz. Saya sedang baiki diri.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, hukum menangguhkan solat dengan sengaja atau tanpa uzur sehingga terkeluar daripada waktunya adalah haram. Perkara ini disebut di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah karangan Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff yang bermaksud: “Jika penangguhan itu sehingga tidak berbaki lagi kadar waktu untuk menunaikan fardu solat tersebut, maka penangguhan tersebut adalah haram”. Tanggungjawab seorang sahabat adalah menasihati antara satu sama yang lain. Maka nasihatilah beliau dengan penuh hikmah dan keikhlasan moga-moga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepadanya. Disarankan juga untuk meminta bantuan orang yang thiqqah, dipercayai serta dihormati bagi menasihati sahabat tersebut. Adapun, jika telah dinasihati dan diingatkan, beliau masih lagi melakukannya, ketahuilah bahawa saudari telah menunaikan tanggungjawab pada agama. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.