BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum tuan. Soalan saya, adakah benar kita dilarang meletakkan pokok hidup sebagai hiasan di dalam bilik air atau tandas kerana pokok sentiasa berzikir kepada Allah, jadi tidak elok jika kita meletakkan pokok hidup di tempat sedemikian. Mohon pencerahan dari pihak tuan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, tiada larangan untuk meletakkan pokok hiasan di dalam bilik air atau tandas. Berkenaan tumbuh-tumbuhan yang berzikir, ini ada dijelaskan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun”. (Al-Israa' : 44) Huraian tentang ayat ini berdasarkan kepada tafsir Ibnu Kathir bahawa, semua makhluk Allah SWT bertasbih memujiNYa menyaksikan keesaanNya sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tiada sesuatu makhluk pun melainkan bertasbih memujiNya, tetapi tasbih atau zikir itu tidak didengar dan difahami oleh manusia. Terdapat dalil yang diriwayatkan daripada Abu Zarr, bahawa Rasulullah SAW pernah memegang beberapa biji batu kerikil yang mengeluarkan suara tasbih seperti dengungnya lebah. Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah SAW melarang orang membunuh katak, baginda bersabda : نَقِيقُهَا تَسْبِيحٌ Maksudnya : “Menguaknya katak adalah tasbih” (Riwayat an-Nasai) Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Jarir dari Jarir bin Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sukakah kukhabarkan kepada kamu tentang sesuatu yang diperintahkan oleh Nuh kepada puteranya?. Sesungguhnya Nuh AS. berkata kepada puteranya, “Wahai anakku, kuperintahkan kamu mengucapkan “Subhanallah”, kerana ucapan itu adalah solatnya makhluk Allah, tasbihnya makhluk Allah dan dengan tasbih itu makhluk Allah memperoleh rezeki” Ini bermakna, cara makhluk-makhluk ini berzikir tidaklah sama dengan cara manusia berzikir. Kita dilarang untuk menyebut zikir semasa di dalam tandas, kecuali di dalam hati. Tetapi, tiada larangan ke atas pokok-pokok hiasan yang diletakkan di dalam bilik air atau tandas, kerana zikir yang disebut oleh mereka, tidaklah didengari dan difahami oleh manusia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 237

message user image